KUALA LUMPUR 22 Sept. – Pengguna dinasihatkan tidak membeli arak tiruan kerana dipercayai mengandungi bahan campuran methanol yang berbahaya kepada kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan arak tiruan tidak mempunyai label yang jelas pada botol tersebut dan kemungkinan kandungannya tidak mendapat kelulusan pihak kementerian.
“Kita dapat mengetahui ada campuran dalam minuman keras itu kerana label yang terdapat pada botol tersebut tidak menunjukkan kandungan sebenar alkohol yang dijual di pasaran.
“Kita percaya wujud campuran bahan yang tidak sepatutnya dan pihak kami sudah menjalankan kajian di makmal kesihatan di Sungai Buloh sekiranya terdapat campuran lain yang mengundang bahaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Inovasi KL 2018 ‘Keusahawanan dalam penjagaan kesihatan’ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Semalam, sebanyak tujuh kes baharu keracunan alkohol dilaporkan di fasiliti-fasiliti kesihatan masing-masing enam di Kuala Lumpur dan satu di Perak.
Setakat ini, sebanyak 76 kes melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Perak direkodkan sejak 15 September lalu dan terdapat 29 kes kematian
yang membabitkan warga Myanmar (12), Malaysia (9), Nepal (6), Bangladesh dan tidak diketahui status kewarganegaraan (masing-masing satu). -UTUSAN ONLINE











