Chong Wei disahkan hidap kanser hidung - Utusan Malaysia

Chong Wei disahkan hidap kanser hidung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Selepas pelbagai spekulasi mengenai masalah kesihatan Datuk Lee Chong Wei timbul, akhirnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampil mengesahkan bahawa jaguh No.1 negara itu menghidap kanser hidung.

Sebelum ini pelbagai desas-desus timbul mengenai penyakit yang dihidapi pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu terutama selepas dia menarik diri daripada Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Bagaimanapun, hari ini Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tampil menerusi satu kenyataan mengesahkan bahawa jaguh negara itu sedang menjalani rawatan di Taiwan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau memberitahu, Chong Wei sedang menjalani rawatan dengan baik di Taiwan dan BAM sentiasa berhubung dengan pemain itu selain bersedia untuk memberikan sebarang bantuan sekiranya diperlukan.

“BAM mengesahkan bahawa Chong Wei dikesan menghidap kanser hidung peringkat awal dan kini sedang menjalani rawatan.

“Dia memberi respon yang baik terhadap rawatan itu dan sedang berehat bersama ahli keluarga terdekatnya di sana.

“Kami berharap agar semua pihak terus memberikan sokongan kepadanya dan pada masa sama memberi ruang kepadanya untuk berehat buat masa sekarang,” kata Mohamad Norza.

Semalam, Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai memberitahu, Chong Wei akan pulang ke ibu negara dalam tempoh dua minggu lagi selepas menamatkan sesi rawatannya di luar negara.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai masalah kesihatan yang dihadapi jaguh negara itu selain tidak menjelaskan lokasi sebenar Chong Wei menerima rawatan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini