KULAI – Dua penjenayah warga asing yang dipercayai aktif dalam kegiatan samun di negeri ini ditembak mati selepas cuba merempuh kenderaan polis di Jalan Sedenak di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi itu, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua suspek berusia 30-an itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan Ops Rantau cegah jenayah di Taman Manis di sini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis kemudiannya memecut kereta mereka untuk melarikan diri ke arah Bukit Batu dari Jalan Sedenak ke Felda Sayong.
“Suspek yang cuba meloloskan diri sejauh dua kilometer kemudiannya merempuh sebuah kereta Proton Wira milik polis sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
“Sebagai langkah mempertahankan diri, polis turut melepaskan beberapa das tembakan sehingga tiada lagi ancaman menyebabkan kenderaan suspek terbabas.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui dua lelaki dengan kesan tembakan,” katanya di sini semalam.











