KUALA LUMPUR 21 Sept. – Pelantikan Azhar Harun sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersoalkan kerana tidak mendapat perakuan Parlimen seperti mana termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, Parlimen akan bersidang semula pada 15 Oktober depan dan sewajarnya pelantikan berkenaan ditangguhkan hingga ke sidang berkenaan.
Beliau berkata, tanpa pengerusi baharu pun SPR masih mampu mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
“Saya tidak setuju dengan cara pelantikan Pengerusi SPR baharu. Dalam manifesto PH jelas ditulis pelantikan ahli SPR mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen. Pelantikan ini tidak pernah dirujuk kepada Parlimen untuk perakuan.
“Walaupun pelantikan Azhar mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, saya harap atas komitmen beliau kepada reformasi institusi, Azhar menolak sementara pelantikan ini sehingga mendapat perakuan Parlimen,” katanya di Twitter beliau hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Dr. Ismail Bakar hari ini mengumumkan pelantikan Azhar iaitu seorang pengamal undang-undang sebagai Pengerusi SPR bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah.
Khairy berkata, dalam keghairahan negara menyambut pelantikan seorang yang progresif untuk menerajui satu institusi yang penting, jangan lupa bahawa cara pelantikan itu sendiri adalah komitmen kerajaan kepada reformasi institusi.
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan pelantikan Azhar ke jawatan tersebut kerana merupakan seorang berwibawa dan berkelayakan.
Sementara itu, Pas yakin profesionalisme yang dimiliki Azhar mampu membawa perubahan terhadap perjalanan pilihan raya di negara ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan Azhar pastinya dibuat berdasarkan latar belakang beliau dalam bidang perundangan serta pengalaman luas dalam bidang litigasi di mahkamah.
“Sebagai seorang profesional adalah diharapkan Pengerusi SPR yang baharu akan bertindak secara telus, tidak memihak dan dapat menjalankan reformasi penuh bagi mengembalikan integriti serta tahap keyakinan awam kepada institusi utama pilihan raya negara ini,’’ katanya.
“Pas juga mengharapkan Pengerusi SPR diberikan kuasa autonomi sepenuhnya di bawah undang-undang tanpa sebarang gangguan, sekatan atau pengaruh daripada mana-mana pihak,” katanya.











