SK Pengkalan Nyireh dilibatkan dengan YLMY - Utusan Malaysia

SK Pengkalan Nyireh dilibatkan dengan YLMY

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT 21 Sept.- Seramai 50 murid Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh di sini menyertai program Your Language My Culture (YLMY) yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan penggunaan bahasa Inggeris menerusi aktiviti berbentuk budaya.

Program dua hari itu yang bermula hari ini dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Unit Integriti Kolej Burhanuddin Helmi; Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Pendidikan negeri.

Ketua projek, Prof. Datuk Dr. Rashila Ramli berkata, sebelum ini YLMC sudah dilaksanakan di 54 buah sekolah menengah di negeri ini dalam usaha meningkatkan kefahaman dan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya kali ini pertama kali didedahkan kepada murid sekolah rendah dengan harapan pendekatan berbentuk budaya tempatan mudah diterima dan difahami oleh murid tahun lima sekolah tersebut.

Menurutnya, 20 pelajar institut pendidikan tinggi itu dan lima orang pensyarah UKM turut terlibat bersama program tersebut sempena Operasi Khidmat masyarakat (OPKIM) UKM yang memberi fokus membantu murid dalam kefahaman Bahasa Inggeris.

“Selama dua hari murid-murid diperkenalkan kepada aktiviti kebudayaan tempatan iaitu Mak Yong, tarian dan muzik tradisi selain mendekati keindahan alam sekitar bertempat di Pantai Bukit Keluang, “ujarnya.

Sementara itu murid-murid yang menyertai program itu cukup teruja apabila diberi peluang menyediakan kostum untuk persembahan May Yong dengan abang dan kakak mereka yang terdiri daripada pelajar UKM itu.

Hari kedua esok peserta akan menziarah dan menyantuni golongan warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas Kampung Raja. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini