WATFORD – Pengurus Watford, Javi Gracia percaya skuad kendaliannya mampu bangkit daripada kekecewaan menjelang aksi Liga Perdana England (EPL) menentang Fulham di Craven Cottage malam ini.
The Hornets memulakan saingan musim ini dengan cemerlang apabila melakar empat kemenangan berturut-turut sebelum tewas 1-2 di tangan Manchester United minggu lalu.
Justeru, Gracia menggesa anak-anak buahnya supaya menjadikan Fulham sebagai mangsa kebangkitan biarpun akan beraksi sebagai pasukan pelawat malam ini.
“Mereka (Fulham) adalah pasukan yang bagus serta berpengalaman beraksi dalam EPL. Walaupun baru kembali dinaikkan ke liga perdana musim ini, namun mereka dilihat sudah memiliki satu skuad yang tersusun.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang tiga mata. Saya menaruh sepenuh kepercayaan terhadap pemain-pemain Watford untuk melaksanakan tugas penting ini,” kata Gracia.
Pengendali dari Sepanyol itu juga mengakui beliau sangat menghormati pengurus Fulham, Slavisa Jokanovic memandangkan individu tersebut merupakan watak penting mengemudi Watford ke saingan EPL pada musim 2015/16.
“Saya pernah beraksi menentang beliau ketika kami masih lagi seorang pemain dan saya sangat menghormati beliau. Saya tidak sabar untuk bertemu beliau pada perlawanan itu nanti,” ujarnya. – Agensi











