PETALING JAYA 21 Sept. – Selepas membantu Malaysia membenam Tajikistan 6-2 pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin masih dahagakan lebih banyak gol.
Prestasi cemerlangnya meledak empat gol dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam memberikan permulaan sempurna buat Malaysia, dam dia mahu meneruskan kecemerlangan itu dalam dua lagi perlawanan menentang Thailand dan Jepun.
Luqman, 16, juga menyasarkan untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan selain mahu membantu skuad muda negara melakar sejarah melangkah ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2019 di Peru.
“Saya mahu kekalkan prestasi ini sekiranya dipilih untuk dua perlawanan akan datang sebab bila-bila masa sahaja jurulatih akan membuat keputusan tentang siapa yang akan diturunkan.
“Saya akan terus berusaha menjaringkan seberapa banyak gol kerana misi saya pada kejohanan ini adalah ingin muncul penjaring terbanyak dan bantu pasukan layak ke Piala Dunia,” katanya kepada pemberita.
Skuad negara di bawah bimbingan ketua jurulatih Lim Teong Kim akan berdepan Thailand pada Ahad sebelum melengkapkan jadual peringkat kumpulan menentang Jepun, Rabu depan, di venue sama.
Sebagai rekod, empat pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir Kejuaraan B-16 AFC 2018 secara automatik layak beraksi pada Piala Dunia 2019. – BERNAMA











