KUALA LUMPUR 21 Sept. – Honor, syarikat pengeluar telefon pintar bakal membuat kejutan untuk peminatnya dengan melancarkan siri terbaharu sebelum akhir tahun ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Eksekutif Honor Malaysia, Zhao Zhi Wei pada sesi eksklusif bersama media dan para peminat jenama itu, Honor Fan Fest di sini hari ini.
Sebanyak 47 pengamal media diraikan pada majlis tersebut sebagai tanda terima kasih syarikat berkenaan atas sokongan terhadap telefon pintar jenama berkenaan. Festival yang dianjurkan buat pertama kali di Malaysia ini adalah untuk beramah mesra dengan peminat dan pengguna Honor.
Menurut Zhao, peminat dan pihak media telah banyak memberi sokongan kepada produk keluaran Honor dalam mempromosi dan memberi pendedahan mengenai produk syarikat berkenaan.
“Festival ini adalah acara terbesar yang pernah dianjurkan oleh pihak Honor Malaysia.
“Sokongan peminat juga banyak membantu dalam mengembangkan jenama Honor di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Honor Malaysia dengan kerjasama Petsmore menganjurkan pertandingan Cutest Pet (Haiwan Peliharaan Tercomel) yang bermula dari 20 September hingga 28 Oktober. Pertandingan ini diadakan untuk menggalakkan peminat dan pengguna Honor mengambil gambar haiwan peliharaan mereka dengan cara yang kreatif.
“Saya tahu di Malaysia mesti ramai yang ada haiwan peliharaan dan pertandingan ini kami beri peluang kepada mereka untuk memuat naik gambar haiwan peliharaan mereka di sosial media. Mereka boleh mengambil gambar haiwan peliharaan mereka menggunakan kamera telefon pintar Honor, ” katanya.
Pemenang bertuah akan dinobatkan sebagai Honor 10 Pet Star dan berpeluang untuk memiliki satu unit Honor 10. – UTUSAN ONLINE











