GUA MUSANG 21 Sept. – Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 22 tahun kerana cuba melanggar anggota polis yang sedang melakukan operasi di Jalan Persiaran Raya, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, remaja itu tidak menghiraukan arahan polis supaya berhenti ketika operasi banteras ‘mat rempit’ di jalan berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam.
Katanya, ketika itu hanya remaja terbabit menunggang motosikal dengan menunjukan aksi berbahaya apabila meniarap atas motosikal yang ditunggang dengan laju.
“Kita mengenalpasti terdapat antara 10 hingga 15 lagi rakan remaja terbabit berkumpul di jalan itu menyaksikan aksi berbahaya yang mungkin berbuat demikian secara bergilir.
“Operasi yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD), Inspektor Azman A. Radzi yang mengikuti remaja terbabit dari bulatan Simpang Pulai ke lampu isyarat Taman Damar.
“Setibanya di lampu isyarat itu, remaja terbabit tidak berhenti walaupun diarahkan berbuat demikian menyebabkan dia cuba melanggar seorang anggota polis,” katanya.
Mohd. Taufik berkata, lokasi itu dikenalpasti menjadi tumpuan remaja setiap malam untuk merempit dan menunggang motosikal dalam bahaya.
Katanya, rakan remaja itu berumur antara 20 sehingga 24 tahun turut diarahkan ke IPD Gua Musang untuk diambil keterangan.
“Polis memandang serius terhadap aktiviti sekumpulan remaja itu yang menunggang motosikal dengan aksi bahaya dan boleh menggangu pengguna lain.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE











