MENJADI lumrah wanita gemar memasak. Tugas itu dibawa sehingga ke alam rumah tangga. Semoden mana pun seseorang gadis itu, mereka tidak dapat lari daripada tugas memasak. Apabila ia menjadi sesuatu yang digemari, maka tugas itu seronok dilakukan pada setiap masa.
Itulah yang dibuktikan oleh seorang gadis moden, Nur Fazirah Mohd. Pajeri yang begitu menggemari memasak pada waktu senggang.
Gadis ini berkata, paling membuatkan hatinya gembira adalah apabila masakannya dinikmati sehingga ‘licin’ oleh keluarga atau tetamunya.
“Saya biasa memasak untuk adik beradik, ibu dan ayah. Saya suka tengok mereka makan dan tentulah seronok apabila setiap menu yang dihidangkan di atas meja…,licin,” katanya kepada S2.
Tambah Nur Fazirah yang merupakan anak sulung daripada lima beradik, disebabkan minatnya itu ,dia gemar menonton rancangan memasak terutama oleh pelakon dan pengarah Sheila Rusly serta pelakon, Datin Eina Azman di laman sosial.
“Saya gemar memasak lauk-pauk yang ringkas serta membakar kek. Tidaklah sehandal mana tetapi puas hati dan bangga apabila orang suka masakan kita,” katanya.
Katanya, lauk masakan yang menjadi kegemaran ahli keluarganya adalah ayam masak kicap dan mi wantan.
Jelas Nur Fazirah, sebelum ini dia pernah menjual biskut dan kek hasil tangan sendiri, namun selepas mengalami kemalangan, dia tidak lagi meneruskan jualan itu.
Nur Fazirah yang kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan (sumber manusia) di Kolej Universiti Poly-Tech MARA memberitahu pada mulanya, dia tidak pernah mengimpikan untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda.
Lama kelamaan, minat belajar itu timbul dan dia meneruskan impian ibu bapanya untuk melihat anak sulung mereka mengenggam segulung ijazah.
“Ikutkan rancangan, saya berminat untuk menjadi pramugari. Tetapi ibu ayah mahu saya sambung belajar dan sekarang saya suka buat apa yang saya buat ini (memasak),” katanya.
Sebaik sahaja menamatkan pengajian pada hujung tahun ini, Nur Fazirah merancang untuk bekerja dalam bidang yang dipilihnya terlebih dahulu.
“Kemudian nanti…, dan selepas saya menimba pengalaman setahun dua, barulah saya akan fikirkan untuk menetapkan hala tuju. Mungkin siapa tahu, saya akan pilih kerjaya pramugari,” katanya.
Menurutnya, ibu bapanya menyokong perancangannya itu walaupun pada mulanya mereka agak skeptikal dengan pekerjaan sebagai pramugari.
Ditanya mengenai tanggungjawab sebagai anak sulung, Nur Fazirah berkata, dia sentiasa membantu ibu bapanya menjaga adik-adik sejak mereka kecil lagi.
“Sebagai anak sulung, semestinya saya tolong jaga adik-adik. Mereka semua sudah ‘besar panjang’, jadi saya perlu sentiasa mengambil tahu apa yang dilakukan mereka,” katanya.











