LONDON – Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Louis Camilleri berpendapat, Liberty Media masih jauh lagi untuk menjangkau visi mereka dalam menentukan hala tuju saingan Formula Satu (F1) melangkaui tahun 2020.
Terdahulu, Liberty Media dan F1 meningkatkan lagi strategi mereka apabila mendedahkan tiga konsep jentera yang berpotensi untuk musim 2021 setelah Perjanjian Concorde yang ada ketika ini bakal berakhir tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Camilleri menegaskan bahawa pasukan itu tidak terkejut dengan idea-idea yang dikemukakan oleh Pengarah Urusan F1, Ross Brawn memandangkan Ketua Ferrari, Maurizio Arrivabene mendakwa reka bentuk jentera pada masa depan kurang memberangsangkan.
Kini, Camilleri menegaskan, pihaknya mahu melihat visi yang lebih jelas oleh Liberty Media sebelum Ferrari membuat keputusan untuk bersetuju memberi komitmen bersaing dalam F1 melangkaui tahun 2021.
“Perbincangan sedang dijalankan bagi membincangkan isu meliputi aspek teknikal, kewangan dan tadbir urus. Kami percaya terdapat persetujuan bersama terhadap asas objektif yang akan menentukan masa depan sukan ini.
“Bagaimanapun, visi secara terperinci nampaknya masih jauh daripada jangkauan. Ada perkembangan tetapi kita masih jauh daripada sebarang persetujuan yang merangkumi kesemua perkara sebelum boleh ditandatangani semua pasukan.
“Ferrari tetap menegaskan bahawa sebarang keputusan tidak boleh menjejaskan status F1 sebagai perlumbaan permotoran paling berprestij. Terdapat konflik kepentingan yang jelas ketika ini,” katanya. – Agensi











