SETIAP detik, Omir Bekali dan tahanan-tahanan lain di kem tahanan indoktrinasi, Xinjiang, China dikerah mengetepikan kepercayaan Islam mereka.
Lelaki berusia 42 tahun itu dipaksa mengkritik diri dan etnik sendiri serta mengucapkan terima kasih kepada Parti Komunis meskipun dia bukan warganegara China.
Omir mempunyai kerakyatan Kazakhstan memandangkan bapanya berbangsa Kazakh manakala ibunya daripada etnik Uighur.
Dia ditahan oleh pihak berkuasa China sebaik sahaja melepasi sempadan negara republik itu pada tahun lalu.
Omir ditahan selama lapan bulan tanpa diberikan peluang mengambil peguam untuk membela diri di mahkamah.
“Setiap kali saya mengingkari arahan pihak berkuasa di kem tahanan, saya akan dipaksa berdiri menghadap dinding selama lima jam.
“Saya juga pernah dihantar ke penjara berasingan dan tidak diberikan makanan selama 24 jam,” dakwanya.
Pengalaman paling tidak boleh dilupakan Omir ialah ketika dipaksa duduk di ‘kerusi harimau’.
Kerusi berkenaan akan mengikat pergelangan tangan dan kakinya daripada bergerak sebelum dipukul menggunakan kayu.
“Kami ditahan oleh pemerintah kononnya untuk memberi pendidikan semula. Hakikatnya, kami dipaksa makan daging babi dan minum alkohol.
“Tekanan psikologi sangat dahsyat apabila anda dipaksa melakukan kemungkaran di sisi agama. Pengalaman buruk itu menjadi mimpi ngeri kepada saya,” katanya sambil menangis.
Omir merupakan salah seorang daripada satu juta penganut Islam Uighur di wilayah Xinjiang yang ditahan dalam beberapa kem tahanan secara besar-besaran.
Kem tahanan tersebut berperanan mengubah pemikiran politik tahanan, menghapuskan kepercayaan Islam dan membentuk semula identiti baharu etnik berkenaan.
Sejarah hitam
Menurut seorang penyelidik, Adrian Zenz, Komunis China mempunyai sejarah gelap dengan kem tahanan untuk pendidikan semula kerana menggabungkan kerahan tenaga yang keras.
Pemerintah China mula mewujudkan kem tahanan di Xinjiang pada tahun 2014 iaitu selepas tercetusnya pemberontakan oleh kumpulan pemisah Uighur. Sementara itu, seorang etnik Uighur yang menetap di Texas, Amerika Syarikat (AS), Steven Zhang, menggambarkan tindakan menempatkan penduduk Muslim dalam kem tahanan sebagai sangat konservatif.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, sekurang-kurangnya lima juta masyarakat Uighur ditahan sebelum hilang secara senyap,” ujarnya.
Xinjiang terletak di barat China serta bersempadan dengan Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Mongolia.
Dianggarkan kira-kira 10 juta etnik Uighur serta beberapa buah minoriti Islam lain tinggal di wilayah tersebut.
Asalnya, Xinjiang dikenali sebagai Tukistan Timur. Ia dibuka ketika zaman Bani Umayyah iaitu pada tahun 96 Hijrah. Pada tahun 1949, Xinjiang telah dijajah oleh China sehingga sekarang.
Masyarakat Uighur bertutur dalam bahasa Uighur dan mengamalkan ajaran Islam secara sederhana.
Majoriti penduduknya menjana pendapatan menerusi pertanian, penternakan dan berniaga.
Wilayah itu merupakan sebahagian daripada Laluan Sutera yang pernah menjadi jalan perdagangan darat antara Barat dan Asia suatu ketika dahulu.
Beijing dikatakan ingin mengawal Xinjiang kerana miliki sumber minyak dan kepesatan pembangunan ekonomi.
Situasi ini sekali gus mewujudkan penghijrahan besar-besaran etnik Han yang beragama Buddha ke wilayah berkenaan.
Penghijrahan tersebut telah mengubah demografi penduduk di situ sekali gus menjadi punca kepada ketegangan etnik.
Kemuncak ketegangan berlaku pada tahun 2009, kumpulan pemisah Uighur melakukan kekecohan di ibu kota Urumqi yang menyebabkan 200 orang terkorban.
Salah seorang pegawai China berkata, kumpulan ekstremis agama di wilayah berkenaan perlu dikawal menerusi kem tahanan.
“Mungkin ini cara yang perlu diambil bagi menangani kumpulan pelampau Islam kerana Barat telah gagal melakukannya,” tegas pegawai berkenaan.
Pembersihan budaya
Bagaimanapun, seorang ahli sejarah terkemuka, James Millward menganggap, tindakan Beijing sebagai langkah pembersihan budaya selepas pelbagai bentuk penindasan dilakukan kepada masyarakat Uighur.
“Pembersihan budaya merupakan salah satu percubaan pemerintah China dalam mencari penyelesaian terakhir kepada masalah di Xinjiang.
“Pendekatan Revolusi Kebudayaan yang diambil akan meninggalkan kesan psikologi dan trauma berpanjangan kepada mangsa,” katanya.
Hakikatnya, kem tahanan untuk pendidikan semula itu bukanlah satu-satunya bentuk penindasan yang dikenakan kepada etnik Uighur.
Pada tahun lalu, pemerintah China telah menyekat kebebasan etnik berkenaan dengan menutup beberapa masjid di Xinjiang, mengenakan sekatan luar dan mengawal populasi mereka.
Sekatan lain yang dikenakan ialah melarang lelaki menyimpan janggut luar biasa, mengharamkan wanita memakai purdah di tempat awam serta mewajibkan penduduk tempatan menonton siaran televisyen pemerintah.
Pemerintah juga dipercayai telah membakar 370,000 pusat tahfiz al-Quran serta memaksa ibu bapa mengubah nama Muslim anak-anak mereka yang berumur 16 tahun ke bawah.
Sekatan dan tekanan tersebut dipercayai didalangi oleh pemimpin baharu Xinjiang, Chen Quanguo yang dilantik oleh pemerintah pada tahun 2016.
Bekas pemimpin wilayah Tibet dan ketua Parti Komunis itu terkenal dengan reputasinya sebagai pakar penindasan etnik minoriti.
Menurut laporan Human Right Watch (HRW), para pegawai keselamatan China sering mengadakan lawatan secara berkala di kawasan kejiranan penduduk di sekitar Xinjiang.
Sewaktu lawatan, para penduduk dipaksa memberitahu rutin harian mereka, pandangan politik serta agama yang dianuti.
Pihak keselamatan turut menubuhkan pos keselamatan di stesen kereta api bagi mengimbas kad pengenalan selain menempatkan alat pengenalan wajah bagi mengesan pergerakan penduduk.
Tekanan
“Masyarakat Muslim di seluruh Xinjiang kini makan dan tidur di bawah pemerhatian pemerintah China meskipun di dalam rumah mereka sendiri,” ujar Penyelidik Kanan HRW, Maya Wang dalam satu temu bual baru-baru ini.
Seorang lelaki tempatan yang menjual alat ganti kereta memaklumkan, sistem keselamatan yang ketat telah membunuh ekonomi masyarakat di Xinjiang.
Lelaki berusia separuh abad itu memaklumkan, sebagai seorang usahawan, dia perlu berkunjung ke negara-negara Asia Tengah bagi menyelesaikan urusan perniagaan.
“Ia hampir mustahil untuk saya menjalankan perniagaan ketika ini. Saya tidak boleh keluar negara kerana polis telah merampas pasport kami.
“Saya perlu meminta izin untuk ke luar negara dan setelah kembali mereka (polis) akan menahan dan bertanyakan beberapa soalan berkaitan urusan di sana,” ujarnya.
Situasi terbaharu itu membuka peluang kepada AS untuk bertindak terhadap China dengan mengenakan tekanan dan meningkatkan kos barangan eksport.
Ahli politik AS, Marco Rubio menyeru supaya syarikat-syarikat di negara Uncle Sam menghentikan eksport peralatan berbentuk penindasan termasuklah teknologi DNA dan peralatan pengawasan menerusi video ke atas China.
“Kami dengan jelas tahu perkara dahsyat yang berlaku di sana terutama penindasan etnik Uighur. Di mana-mana sahaja terdapat pelanggaran hak asasi. Penindasan ini sangat kejam dan menyedihkan,” ujar Rubio.











