TAPAH 20 Sept. – Satu lagi rekod kebangsaan lebur di gelanggang angkat berat apabila Nur Afiqah Nadhrah Mohammed Borhan dari Selangor mengangkat 92kg untuk memperbaiki catatan lama yang belum sempat berusia setahun hari ini.
Ini adalah rekod kebangsaan baharu kedua di Dewan Merdeka, Majlis Daerah Tapah setelah atlet Wilayah Persekutuan, Jabriella Teo Samuel memadamkan rekod kebangsaan bawah 75kg semalam.
Rekod kebangsaan baharu oleh Afiqah, 20, hanya 1kg mengatasi catatan atlet kebangsaan Siti Aisyah Md. Rosli yang dilakukan ketika bersaing dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, April lalu.
Atlet kelahiran Hulu Selangor itu kemudian melahirkan keyakinannya bahawa rekodnya akan bertahan lama.
“Sebenarnya saya boleh buat lebih baik. Dalam sesi latihan, saya boleh mengangkat 95kg tetapi mungkin disebabkan beberapa masalah antaranya kecederaan bahu dan siku kiri menyebabkan saya hanya mampu mengangkat 92kg hari ini.
“Apapun saya berpuas hati apabila dapat memecahkan rekod kebangsaan kerana saya cukup yakin dapat melakukannya. Ini adalah penampilan terakhir saya (dalam Sukma) dan saya percaya rekod saya dapat bertahan dengan lebih lama,” katanya.











