KUALA LUMPUR 20 Sept. – Apa penyakit sebenar dihidapi Lee Chong Wei? Perkara itu kembali diperkatakan apabila jaguh badminton negara itu dijangka kembali ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi selepas selesai mendapatkan rawatan di luar negara.
Setakat ini tiada mana-mana pihak mahu mengesahkan apa penyakit sebenar anak kelahiran Pulau Pinang itu sehingga menyebabkan pelbagai spekulasi timbul. Ia termasuklah dakwaan pemain tersebut menghidapi kanser dan masalah saraf.
Apa yang diberitahu setakat ini adalah pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu mengalami masalah berkaitan pernafasan, yang menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing serta Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu.
Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai yang ditemui hari ini berkata, beliau sempat melawat Chong Wei di tempat dia menjalani rawatan namun enggan mendedahkan lokasinya apatah lagi mengesahkan desas-desus bahawa pemain itu menjalani rawatan di Taiwan.
Chin Chai cuma memberitahu pemain No.1 negara itu berada dalam keadaan baik ketika ini.
“Semua tahu bahawa Chong Wei sedang mendapatkan rawatan di luar negara dan dia dijangka menamatkan rawatannya dalam tempoh seminggu lagi sebelum pulang ke ibu negara seminggu selepas itu.
“Difahamkan, Chong Wei akan berehat selama sebulan dahulu dan mengikut segala nasihat dokor sebelum kembali menjalani latihan semula,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini.
Sebelum itu, pelbagai spekulasi mengenai dirinya timbul apabila dia tidak menghadiri sesi latihan selama beberapa hari sebelum BAM mengeluarkan kenyataan bahawa pemain itu sedang mendapatkan rawatan di luar negara berhubung masalah kesihatan yang dialaminya.











