PERMATANG PAUH 20 Sept. – Tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar UMNO memberi mesej kepada semua pihak termasuk ahli parti itu sendiri agar bersama-sama menyokong dan mendukung kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau menghormati keputusan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kerana berani mengambil langkah tersebut.
“Bagi saya, beliau bukanlah seorang pengamal politik yang ekstrem, sebaliknya mempunyai fikiran yang sangat terbuka.
“Tentu dia melihat Malaysia lebih utama berbanding soal partinya (UMNO) itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Kulim Industries Tenants Association (KITA) di Hotel The Light, di sini hari ini.
Mengulas mengenai persidangan itu, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia memberi jaminan bahawa perkembangan era digital dalam dunia pekerjaan ketika ini tidak akan mengambil alih kedudukan tenaga manusia.
Sebaliknya, Mahfuz berkata, teknologi itu akan memberi kelebihan kepada pekerja kerana ia membantu meringan serta memudahkan urusan pekerjaan mereka.
“Oleh itu, isu yang dibangkitkan sesetengah pihak ketika ini iaitu kononnya akan berlaku pengurangan tenaga kerja tenaga manusia susulan perkembangan era digital ini tidak akan berlaku sama sekali.
“Bahkan, saya difahamkan bahawa dengan adanya era digital ini, ia secara tidak langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang bersesuaian dengan zaman digital itu sendiri,” katanya.











