ARTIKEL ini ditulis bukan untuk menghakimi sesiapa. Cuma, ia ibarat menarik rambut dalam tepung, tepung tak berselerak rambut tak putus.
Sejak Mei, satu demi satu peneraju syarikat milik kerajaan (GLC) meninggalkan jawatan masing-masing. Bahkan kebanyakannya kelihatan dibuat `secara sukarela’ walaupun tempoh tamat perkhidmatan mereka belum pun sampai waktunya.
Julai lalu, selepas pelaburan dan hala tuju Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dipertikaikan, sembilan ahli lembaga pengarahnya meletak jawatan termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar. Setakat akhir 2017, Khazanah mempunyai aset boleh jual bernilai RM157.2 bilion dan nilai bersih diselaraskan RM115.6 bilion.
Pada Ogos pula, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) yang memegang jawatan tersebut pada awal tahun seolah-olah dipersalahkan atas isu tadbir urus terutama membabitkan kos projek LRT3.
Masnizam Hisham meninggalkan Prasarana pada 2 September lalu dengan seribu persoalan terutama mereka ‘tiada wang’ untuk membayar gaji pekerja hingga terpaksa memohon terbitan sukuk daripada Kementerian Kewangan.
Terbaharu atau ‘isu lama’ yang berbangkit semula ialah FGV Holdings Berhad (FGV). Selepas tahun lalu membabitkan krisis dengan bekas pengerusinya dan pelaburan yang disemak semula, ramai menaruh harapan untuk melihat syarikat ini kembali pulih. Tetapi malangnya tidak.
Selasa lalu, di sebalik pelbagai ‘tekanan’, akhirnya Datuk Zakaria Arshad mengundur diri daripada jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang disandangnya sejak 2016 setelah bertugas di syarikat itu selama 35 tahun. Sejujurnya, Zakaria adalah mangsa kepada dunia kapitalis yang terdesak.
Ya, FGV tidak untung. Bagi suku kedua tahun ini, keuntungan sebelum zakat dan cukai FGV merosot 98.78 peratus kepada RM1.25 juta berbanding RM102.44 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu. Pendapatannya juga susut kepada RM3.44 bilion berbanding RM4.21 bilion pada suku sama tahun lalu.
Dalam tempoh itu, jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) adalah 480,738 tan metrik, meningkat 14.18 peratus berbanding 421,045 tan metrik pada suku sama sebelumnya. Pengeluaran buah tandan segar (FFB) bagaimanapun, lebih rendah sedikit pada 993,505 tan metrik berbanding 1.04 juta tan metrik. Kadar perahan minyak (OER) MSM pula menunjukkan peningkatan kepada 20.61 peratus daripada 19.77 peratus sebelumnya.
FGV dalam tempoh enam tahun juga tidak pernah gagal melunaskan bayaran RM250 juta bagi pajakan tanah (LLA) kepada Felda dan juga dividen kepada pemegang saham.
Lalu, apa masalah FGV? Syarikat lain juga bermasalah. Tetapi bezanya, syarikat ini dikaitkan dengan orang politik yang menimbulkan persepsi buruk kepada pasaran. Masalah persepsi juga menyebabkan sahamnya tidak berupaya meningkat lebih tinggi, di samping beberapa faktor lain, antaranya harga MSM yang rendah dan kerugian daripada syarikat usaha sama yang lain.
Ini adalah kebimbangan yang harus diambil kira pentadbiran baharu dan dalam masa sama, kebajikan peneroka perlu dijadikan keutamaan. Felda mempunyai 33.7 peratus pegangan dalam FGV.
Kita pastinya ternanti-nanti apakah keputusan dalam siasatan yang dijangka dapat dimuktamadkan hujung tahun ini memandangkan Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, siasatan itu turut melibatkan pengarah-pengarah terdahulu.
Jika soal tidak untung, Zakaria ‘digantung tugas’, bagaimana pula dengan situasi yang menimpa Azman dan Masnizam. Ya, bagaimanapun, ketiga-tiganya adalah berbeza.











