PARIS 20 Sept. – Sekumpulan saintis telah membangunkan sebuah pesawat luncur boleh terbang sendiri menggunakan mesin untuk belajar terbang dalam aliran udara naik ke atas.
Saintis menyatakan eksperimen berkenaan membantu memahami bagaimana burung berhijrah.
Burung yang hendak terbang tinggi memerlukan laluan udara panas untuk terbang lebih tinggi tanpa perlu mengepakkan sayapnya.
Untuk melihat bagaimana burung menggunakan laluan udara berkenaan, para penyelidik dari Universiti California San Diego memasang pesawat tersebut dengan komputer bagi membolehkannya menukar arah laluan berdasarkan pengukuran masa sebenar.
Untuk membantu mengemudi dalam persekitaran yang sentiasa berubah, mereka menggunakan mesin pembelajaran bagi mengajar pesawat bagaimana untuk terbang dengan menilai setiap variasi pada arus udara serta menerima ‘ganjaran’ untuk setiap keputusan ‘betul’ yang dihasilkan dalam altitud lebih tinggi.
Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature semalam, para saintis melaporkan selepas 15 jam menjalankan ujian penerbangan, pesawat terbabit telah ‘belajar’ bagaimana untuk mengoptimumkan kedudukannya dan menghasilkan strategi untuk terbang dalam laluan udara panas.
“Kami mendapati ia sangat menarik kerana pesawat tidak mempunyai pengetahuan tentang fizik atau aerodinamik atmosfera,” kata penulis utama kajian tersebut, Massimo Vergassola kepada AFP.
Dengan mempelajari bagaimana peluncur belajar untuk bertindak balas terhadap rangsangan fizikal ketika terbang, Vergassola dan rakan sekerjanya percaya bahawa burung juga mungkin mengambil petunjuk fizikal atau visual tertentu bagi membantunya terbang lebih tinggi, sekali gus menjimatkan tenaga diperlukan untuk proses penghijrahan yang panjang. –AFP











