KUALA LUMPUR 20 Sept. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan lebih banyak pertuduhan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dikemukakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tanpa mengulas lanjut mengenai pertuduhan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini empat pertuduhan bersama telah dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ini merupakan pertama kali dalam sejarah SPRM dan PDRM berkoordinasi dalam menjalankan siasatan dan pertuduhan seperti ini.
“Saya tidak menolak akan ada lagi pertuduhan yang akan dilakukan secara bersama,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini.
Terdahulu bekas Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan yang dikemukakan SPRM melibatkan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion. – UTUSAN ONLINE











