TAIPING – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan melakukan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras aktiviti pemburuan hidupan liar secara haram yang berlaku di dalam negara.
Menterinya, Dr. Xavier Jayakumar berkata, beliau akan mengarahkan Setiausaha Kementeriannya untuk melakukan perbincangan bersama dua agensi tersebut bagi mencari solusi terbaik menangani jenayah memburu hidupan liar tersebut.
“ATM dan PDRM seterusnya akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membuat rondaan secara berkala dua kali setahun.
“Kita sedia maklum bilangan renjer sekarang tidak mencukupi bagi menjaga hutan yang luas di dalam negara dan kementerian akan menambah bilangan renjer kira-kira 50 orang lagi bagi mencukupkan bilangan 150 renjer,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatannya ke Zoo Taiping & Night Safari dan menyempurnakan upacara menandatangani papan tanda Program Kesedaran Perdagangan Hidupan Liar Secara Haram Atas Talian di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Datuk Abd. Rahim Md. Ariff dan Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr. Kevin Lazarus.
Menurut Xavier, kebanyakan pemburu yang melakukan aktiviti haram tersebut merupakan rakyat tempatan selain segelintir warga asing dan mereka menggunakan platform atas talian untuk menjual hasil buruan tersebut.
“Kita maklum aktiviti penjualan haiwan eksotik dan anggota badan hidupan liar ini menjana pendapatan yang besar bagi pemburu haram ini.
“Kementerian akan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap peniaga atas talian yang ditangkap agar menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kadir mendedahkan sebanyak 114 aduan diterima pihaknya melibatkan pemerdagangan hidupan liar atas talian pada tahun 2016 manakala 193 aduan pada tahun lalu.
“Sebanyak 60 kes pemerdagangan hidupan liar telah disiasat dan diambil tindakan denda antara RM1,000 hingga RM50,000 dan penjara antara sebulan hingga 12 bulan sejak 2013 hingga 2017,” katanya. – K! ONLINE











