IPOH – Raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Muhammad Aqil Yasmin memperbaharui rekod temasya dalam acara 200m lelaki selepas mengungguli acara itu hari ini dengan catatan masa terpantas 21.01 saat sekali gus meraih emas kedua peribadi dalam penampilan Sukma terakhirnya.
Kemaraan Aqil sukar digugat apabila beliau memecut pantas sebaik tembakan dilepaskan dalam suasana hujan renyai-renyai membasahi trek yang menyaksikan pelari kebangsaan Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 21.26s untuk pingat perak.
Pingat gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Russel Alex Nasir Taib (21.30s) yang mengejutkan seorang lagi pelari kebangsaan, Muhammad Zulfiqar Ismail dari Terengganu yang sekadar menduduki tempat keempat dengan catatan masa 21.44s.
“Jurulatih saya memang harapkan saya untuk memperbaharui catatan masa peribadi terbaik dan hari ini saya memperoleh kejayaan berganda selepas turut berjaya memperbaharui rekod Sukma.
“Acara 200m ini merupakan acara kegemaran saya. Saya memberikan tumpuan sepenuhnya semasa memulakan larian hingga berjaya mencecah garisan penamat dengan masa terpantas,” katanya kepada pemberita selepas meraikan kejayaan melakar rekod baharu tersebut.
Aqil, 21, mengakui berasa lega selepas menanti lebih dua tahun untuk menggengam pingat emas akhirnya menjadi nyata.
Pada penampilan di Sukma Sarawak 2016, pemuda yang berasal dari Klang, Selangor, itu sekadar meraih pingat perak dalam acara 200m dan menduduki tempat keempat dalam acara 100m.
Selasa lepas, Aqil meraih gelaran raja pecut Sukma 2018 selepas mengungguli acara 100m lelaki sekali gus menyambar pingat emas dengan catatan masa 10.39s. – Bernama











