SHAH ALAM 20 Sept. – Lebih 100 pemain dari 16 buah negara bakal bakal berentap dalam kejohanan tenis PREC Selangor 2nd ATF 14&U Tournament Series 2018 yang akan berlangsung dari 24 hingga 30 September 2018 di Kompleks Sukan Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Presiden Persatuan Tenis Selangor (STA), Datuk Mohamad Taufik Omar berkata, antara negara yang akan bertanding termasuklah Malaysia, Australia, Perancis, India, Itali, Korea, Amerika Syarikat dan China.
“Kejohanan ini bertaraf gred A dan pertama kali diberikan kepada Malaysia selain melibatkan penyertaan dari pemain yang mempunyai ranking tinggi di dalam Persatuan Tenis Asia (ATF).
“Pemian juga akan meraih mata yang akan diiktiraf dalam ranking Persatuan Lawan Tenis Malaysia (LTAM),” katanya dalam sidang akhbar di Black Box@SACC Mall Shah Alam, di sini hari ini.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam kojahanan itu ialah Perseorangan Lelaki, Perseorangan Perempuan, Beregu Lelaki dan Beregu Perempuan dalam pertandingan itu.
Turut hadir Pengurus Besar Kewangan Korporat dan Strategi, PKNS Real Estate (PREC), Netty Hezreena Abd Malek selaku penaja utama bagi kejohanan dan Pengarah Kejohanan, Mohamad Rahizam Abdul Rahim.
Sementara itu, Netty Hezreena memberitahu, pihaknya berasa teruja untuk menjadi penaja buat kali kedua kepada kejohanan tersebut.
“Penajaan ini selari dengan misi PREC untuk empat teras utama tanggungjawab sosial korporat kami iaitu keusahawanan, sukan, pendidikan dan masyarakat.
“Kejohanan ini merupakan landasan yang baik untuk pemain-pemain Malaysia menunjukkan bakat mereka dalam sukan dan bertanding di peringkat antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











