TELUK INTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Teluk Intan menahan dua lelaki dan merampas 730 liter minyak diesel bersubsisi bernilai RM1,591 dalam serbuan di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Suhaimi Dawi berkata, dua lelaki berusia 28 dan 46 tahun itu
ditahan bersama sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda ketika membeli minyak di stesen itu pada pukul 3 petang.
Katanya, serbuan dijalankan selepas risikan selama dua minggu mendapati terdapat kegiatan membeli bahan bakar itu dari stesen minyak sebelum dijual kepada syarikat dan industri.
“Dua buah kenderaan tempatan akan mengunjungi stesen minyak itu bagi mendapatkan diesel bersubsidi yang diisi di dalam tong drum dan tangki tambahan pada kenderaan tersebut.
“Minyak diesel ini disyaki dijual kepada syarikat atau industri yang menggunakannya sebagai bahan bakar di dalam operasi syarikat mereka,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Ujarnya, sebanyak 730 liter minyak diesel dan dua buah kenderaan tersebut telah disita dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM46,591.00. – K! ONLINE











