Tapak populariti - Utusan Malaysia

Tapak populariti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR dua tahun lalu, dia hanyalah seorang gadis kecil yang gemar menyanyi dan berkongsi minat tersebut dalam laman sosial Instagram dengan banyak menyanyikan semula (cover) lagu beberapa artis terkenal. Usianya masih hijau, 16 tahun pada ketika itu dan menyanyi dalam laman sosial merupakan trend masa kini bagi kebanyakan remaja seusianya.

Bagaimanapun, putaran hidupnya tiba-tiba berubah secara total selepas videonya menyanyikan lagu Sabar dendangan Ismail Izzani mendapat perhatian penyanyi muda itu sebelum ia dikongsikan semula (repost) di Instagram penyanyi tersebut.

Sejak itu, pengguna laman sosial mula tertanya-tanya siapakah pemilik nama Sarah Suhairi yang berjaya menarik perhatian Ismail.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat berterima kasih kepada Ismail kerana dia yang mula-mula berkongsi video nyanyian saya. Bermula daripada situ, orang mula mencari dan mengikuti saya di Instagram.

“Sehinggalah pada satu ketika, saya menyanyikan lagu Jampi daripada Hael Husaini dan dia juga melakukan hal yang sama sehinggakan jumlah pengikut di Instagram saya semakin bertambah. Sejak itu juga saya semakin aktif menyanyikan lagu cover,” ujarnya membuka kisah bagaimana permulaan kariernya dalam bidang seni terjadi.

Dalam tempoh beberapa bulan kemudian, Sarah menerima lamaran daripada syarikat rakaman MVM Production yang berminat menjadikannya artis mereka.

“Pihak MVM Production menghubungi saya menerusi mesej di Instagram. Pada mulanya saya fikir ia sekadar prank (gurauan kasar). Namun, selepas memberitahu ayah, dia ajak saya ke pejabat mereka untuk berbincang terlebih dahulu sebelum betul-betul menerima tawaran tersebut,” katanya yang mengakui tidak pernah terfikir untuk bergelar penyanyi secara serius.

Selepas mengikat perjanjian dengan MVM Production, barulah karier nyanyian Sarah bergerak setapak ke hadapan apabila muncul dengan single debutnya berjudul Pedih.

Lagu ciptaan Room None dan lirik daripada Iman Imran itu dirakamkan pada penghujung tahun 2017, namun hanya memasuki laman carian YouTube sejak April lalu.

Underdog

Itu sepotong kisah perjalanan karier Sarah sebelum dia berjaya bergelar peserta program realiti terbitan Astro dalam menyerlahkan bakat penyanyi baharu, Big Stage yang memulakan siarannya sejak 5 Ogos lalu.

Tidak dinafikan, tiada bekal sensasi juga antara faktor yang membuatkan namanya kurang dikenali ketika mula-mula menyertai program tersebut berbanding peserta lain yang dilihat telah memiliki populariti di pentas komersial.

Namun, ketika berbicara tentang perjalanannya sejak minggu pertama, gadis kelahiran Rawang, Selangor itu tidak malu mengaku pernah berasa terkesan dengan keadaan itu apabila bergelar satu-satunya peserta underdog (bukan sesiapa).

“Jujur saya akui memang ada timbul perasaan sangat kerdil jika dibandingkan dengan peserta lain. Sebabnya, saya bukan siapa-siapa dan penonton tidak kenal Sarah Suhairi. Malah pada waktu itu, penonton memang fokus kepada rakan-rakan yang sudah ada nama.

“Bagaimanapun, dalam masa sama, disebabkan perasaan dan situasi yang berlaku pada ketika itulah membuatkan saya mahu berikan yang terbaik. Bermula daripada situ, timbul semangat luar biasa untuk membuktikan bahawa orang yang tidak dikenali sebenarnya ada kelebihan,” katanya teruja.

Selama tujuh minggu berturut-turut menunjukkan persembahan konsisten, gadis berusia 18 tahun itu tidak pernah tersenarai dalam kelompok tiga peserta terbawah.

Catatan tersebut sekali gus berjaya membuka mata penonton yang telah melihat bakat sebenarnya. Malah tidak kurang juga apabila ada peminat menyifatkan dia lebih menyerlah berbanding peserta lain yang memiliki pengalaman lebih lama sebagai penyanyi.

Lebih menarik, persembahannya pada minggu keempat menerusi lagu kumpulan K-pop terkenal dari Korea Selatan, Blackpink, Ddu-du Ddu-Du menjadi perhatian ramai peminat kerana kemampuannya menyampaikan lagu bahasa Korea itu dengan baik. Ironinya, kata Sarah dia bukanlah peminat tegar K-Pop.

“Ia menuntut masa selama tiga hari untuk saya menghafal lirik lagu tersebut. Cuma saya juga tidak sangka ia mendapat respons positif daripada peminat yang rata-rata mengatakan sebutan saya langsung tiada salah. Risau juga kalau disebut secara salah ia akan membawa maksud lain.

“Biarpun saya bukanlah peminat tegar lagu-lagu K-Pop tetapi percubaan untuk keluar dari zon selesa sesuai dengan tema pada minggu itu iaitu Tapi Bukan Aku yang menuntut setiap peserta melakukan persembahan. Ia berbeza daripada diri sendiri akhirnya membuahkan hasil,” kata Sarah sambil menambah, dia turut menerima komen negatif berkenaan persembahan tersebut kerana imejnya yang bertudung.

Platform

Semakin dikenali dan menjadi sebutan sejurus menyertai Big Stage, perhatian peminat kini terarah buat Sarah. Bahkan dia antara yang disebut-sebut bakal merangkul gelaran juara Big Stage atau paling tidak, berada dalam senarai tiga terbaik.

Berbaki seminggu menjelang pentas final yang akan berlangsung pada Ahad ini (23 September), Sarah seboleh-bolehnya mahu menolak ke tepi misi memburu kemenangan. Meskipun akuinya, dia harus akur untuk memberikan yang terbaik sehingga ke garisan penamat.

Biarpun berada dalam zon selesa setakat ini, dia percaya masih ada banyak perkara yang perlu diperbaikinya demi memastikan perhatian yang berada dalam genggamannya kini tidak terlerai.

“Sejak awal mula memasuki program ini, apa yang saya tekankan bukan tentang kalah atau menang. Cuma saya mahu gunakan peluang yang terbentang untuk dijadikan platform membina dan meluaskan karier pada masa hadapan, sebab bukan semua orang dapat peluang sebesar ini dengan mudah.

“Namun jika ditanya tentang persediaan menjelang final, sejujurnya saya belum sepenuhnya bersedia. Cuma saya perlu yakin dengan diri sendiri.

“Meskipun saya sedar semua peserta ada kelebihan masing-masing tetapi jangan jadikan ia sebagai penghalang untuk maju ke depan. Sebab hakikatnya semua orang ada kelebihan yang kadangkala tidak disedari,” katanya yang memegang prinsip jangan membandingkan diri dengan orang lain untuk berjaya.

Di sebalik fokusnya untuk menghabiskan saki-baki Big Stage, Sarah sebenarnya terpaksa menunda hasrat menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak pada Julai lalu.

Rancangnya selepas ini, dia mahu menyambung pengajian peringkat diploma terlebih dahulu dalam bidang juruukur bahan kerana jadual yang tidak terlalu padat mampu memberinya ruang mengimbangi karier nyanyian.

Sebelum menutup perbualan, Sarah juga sempat berbicara tentang perancangan kariernya untuk muncul dengan single kedua.

“Untuk memastikan introduksi saya menerusi Big Stage akan kekal diingati, saya perlu hadir dengan strategi yang baik pada masa depan iaitu single kedua,” tutupnya mesra.

Mendadak menyerlah dalam program Big Stage, Sarah Suhairi kini menghampiri gelaran juara sulung program tersebut di pentas final yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini