SHAH ALAM 19 Sept. – Tujuh individu terdiri daripada pemilik dan pekerja kedai runcit di beberapa kawasan di negeri ini ditahan dalam 12 serbuan yang dilakukan sejak semalam.
Kesemua mereka ditahan susulan kematian 19 individu selepas dipercayai meminum tiga jenis arak jenama Kingfisher Beer, Mandalay Whisky serta Grand Royal Whisky yang dipercayai beracun.
Ketua Polis, Datuk Mazlan Mansor berkata, tujuh individu berusia 40-an itu terdiri daripada tiga warga India dan dua masing-masing warga Myanmar dan tempatan di Shah Alam, Taman Sri Gombak dan Bandar Rinching, Kajang, dekat sini.
“Operasi yang dilancarkan di seluruh negeri ini itu adalah bagi mengesan premis-premis arak yang diambil oleh mangsa sekali gus mengesan pembekal minuman beralkohol tersebut.
“Hasil serbuan, kita telah merampas sebanyak 1,030 botol wiski pelbagai jenama antaranya Grand Royal dan Mandalay serta 1,767 tin bir jenama Volcano dan Kingfisher,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Tambah Mazlan, tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam manakala kematian yang sebelum ini disiasat sebagai mati mengejut (SDR) kini ditukar kepada Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
Di KUALA LUMPUR, dua lelaki ditahan bersama 23 botol minuman keras jenama Grand Royal Whisky dan Mandalay Whisky dalam serbuan di Taman Sri Kuching, Sentul hari ini.
Tangkapan dan rampasan yang dilakukan pada pukul 11 pagi itu susulan empat kes kematian akibat mengambil minuman tersebut yang dilaporkan di daerah Sentul pada 14 September lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, R. Munusamy berkata, dua lelaki tersebut ditahan selepas didapati menjual minuman keras tanpa lesen.
“Kita turut menyerbu dua lagi lokasi di Jinjang Utara dan Jalan Ipoh, namun tiada rampasan dan tangkapan dibuat.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui lokasi sebenar keempat-empat mangsa memperoleh arak tersebut yang dipercayai diseludup masuk dari Myanmar dan dijual di pasaran pada harga lingkungan RM15 sebotol,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Munusamy menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan kedai-kedai minuman keras untuk menghentikan penjualan dua jenama arak tersebut.
“Tindakan pencegahan kami adalah untuk merampas terus agar jenama ini tidak terus berada dalam pasaran,” katanya.
Serbu premis jualan arak tiruan, tahan beberapa individu










