KANGAR 18 Sept. – Hari ini, sepatutnya menjadi detik indah buat Alya Huwaynaa, 4, kerana bakal menerima seorang adik.
Bagaimanapun hasrat kanak-kanak itu bergelar kakak tidak kesampaian apabila ibunya, Siti Asmah Abdul Khalid, 27, yang dijangka melahirkan anak keduanya hari ini terkorban bersama kandungannya dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Bukit Chabang, Padang Besar di sini semalam.
Bukan sahaja kehilangan ibu, Alya juga menjadi yatim piatu apabila bapanya maut dalam nahas ngeri itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, kereta jenis Nissan Murano dinaiki Mohd. Hafiz Johari, 28, serta Siti Asmah bersama Alya bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang anggota polis.
Kemalangan ketika angin kencang dan hujan lebat itu juga menyebabkan anggota polis tersebut, Muhamad Amirul Naim Aziz, 24, maut, manakala isterinya koma akibat kecederaan parah serta dua anak mereka berusia dua tahun dan empat bulan masih dirawat di hospital.
Bapa Siti Asmah, Abdul Khalid Mustapa, 50, berkata, pihak hospital cuba menyelamatkan bayi di dalam kandungan anaknya itu, namun gagal.
“Tragedi ini mengejutkan kami sekeluarga kerana sebelum itu, kira-kira pukul 7 petang, Siti Asmah ada menelefon saya memaklumkan bahawa mereka sekeluarga berada di Kangar.
“Saya reda dengan kejadian tersebut dan bersyukur cucu saya Alya terselamat dan hanya mengalami kecederaan. Sepatutnya hari ini menjadi detik bahagia Alya yang bakal menerima adik dan saya pula mendapat cucu.
“Namun Allah lebih sayangkan Siti Asmah dan suaminya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, jenazah pasangan suami isteri dan bayi mereka selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kok Mak, Padang Besar petang ini.











