Tidak ramai yang mungkin tahu bahawa hubungan Malaysia dengan Turki melangkaui jauh sempadan diplomatik, malah mempunyai ikatan ‘kekeluargaan’ yang sangat erat.
Hakikat ini dirasakan Duta Besar Turki ke Malaysia, Merve Safa Kavakci meskipun beliau baharu bertugas kira-kira lapan bulan di negara ini.
Benar, rakyat Malaysia dan Turki menganuti agama yang sama, malah pemimpin kedua-dua negara menjadi sanjungan kerana berperanan penting dalam membantu masyarakat Islam dunia.
Apa yang mungkin kurang diketahui bahawa ikatan kekeluargaan Malaysia-Turki telah terjalin sejak abad ke-19 lagi melalui perkahwinan kerabat Sultan Uthmaniyyah, Rogayah Hanim (Ruqaiyyah Hanim) dengan Ungku Abdul Majid, adinda pemerintah Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar.
Melalui perkahwinan itu mereka memperoleh tiga anak lelaki dan salah seorangnya ialah Ungku Abdul Hamid yang merupakan bapa kepada Profesor Diraja dan juga bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Ungku Abdul Aziz.
Selepas kemangkatan Ungku Abdul Majid, Rogayah kemudian mengahwini Datuk Jaafar Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama dan memiliki tujuh anak, salah seorangnya ialah pengasas UMNO, Datuk Onn.
Selain masyarakat Malaysia yang ramah, Merve teruja dengan susun atur dan perancangan bandar di negara ini termasuk reka bentuk bangunan seperti di Putrajaya yang setiap satunya mempunyai ciri tersendiri.
“Malaysia juga adalah negara pertama yang membuka laluan kepada industri kewangan Islam dan makanan halal justeru saya mendapati Malaysia juga sentiasa berusaha meningkatkan kefahaman tentang agama Islam sejajar keperluan masyarakat di abad ke-21 ini,” katanya.
Menyentuh tentang masyarakat majmuk di negara ini, wanita itu turut mengkagumi keupayaan pemerintah Malaysia menyatukan rakyat ini dan mewujudkan pelbagai sosiobudaya, seperti Turki yang menjadi tempat pertemuan antara barat dan timur tanpa menghilangkan identiti dan kekayaan budaya masing-masing.
“Malaysia menonjol di dunia melalui pembangunan sosial dan ekonomi bebas selain berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat daripada pelbagai kaum, etnik dan agama,” katanya.
Merve juga kagum dengan kematangan rakyat Malaysia dalam bidang politik justeru pilihan raya umum yang lalu membuktikan demokrasi yang wujud di negara ini.
“Demokrasi diamalkan dengan baik di negara ini dan keputusan yang dibuat rakyat negara ini harus disokong dan dihormati,” katanya.
Merve juga berkata, hubungan politik Turki-Malaysia semakin kukuh melalui kerjasama dalam Perkongsian Strategik pada 2014 dan forum-forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D-8 selain sokongan Malaysia terhadap Turki untuk memperoleh status Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada tahun lalu.
Dalam pada itu katanya, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara perlu dipertingkatkan dengan membuka peluang kepada usahawan masing-masing sebagai rakan niaga.
“Setakat ini, tidak ramai rakyat Turki dan Malaysia yang menjadi rakan niaga walaupun ada beberapa kekangan tetapi potensinya perlu diluaskan.”
“Kedua-dua pihak perlu mengenali persekitaran perniagaan untuk menjadi lebih akrab, kami sedang berusaha untuk menarik pelbagai kumpulan dari pelbagai sektor bertukar-tukar idea dan meneroka perkongsian ini,” katanya.
Merve berkata, sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, Turki berharap dapat mengadakan hubungan dengan masyarakat perniagaan ASEAN pada masa akan datang.
Beliau menegaskan, Malaysia dan Turki sudahpun mempunyai hubungan pelaburan bersama yang sangat berjaya dalam industri penerbangan, kesihatan dan pertahanan.
Justeru itu kata Merve, kedua-dua negara kini perlu meluaskan lingkungan kerjasama ekonominya. Banyak syarikat Turki menawarkan produk yang kompetitif kepada Malaysia.
Beliau berkeyakinan sebaik sahaja usahawan Turki memasuki pasaran negara ini, mereka akan berjaya selain Malaysia juga boleh mempertimbangkan insentif sektoral sebagai salah salah satu cara untuk menarik usahawan-usahawan Turki ke Malaysia.
“Anda mungkin terkejut jika mengetahui bahawa kebanyakan barangan pengguna dan produk dari Turki masih diimport ke negara ini melalui orang tengah,” katanya.
Merve mahu melihat Turki dan Malaysia sebagai rakan niaga jangka panjang yang berusaha ke arah pembangunan ekonomi mapan untuk manfaat rakyat kedua-dua negara.
Namun yang penting katanya adalah untuk mengukuhkan hubungan kerjasama demokrasi kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran bidang politik dan kemanusiaan melibatkan dunia Islam secara global.











