Pupuk semangat gotong-royong - Utusan Malaysia

Pupuk semangat gotong-royong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 18 Sept. – Gotong-royong merupakan satu amalan tradisi masyarakat yang semakin dilupakan malah kurang dipraktikkan dalam gaya hidup moden masa kini.

Kebaikan amalan gotong-royong bukan sahaja dapat memudahkan kerja tetapi menerap­kan sikap bertanggungjawab selain mengeratkan silaturahim dalam sesebuah komuniti.

Semangat itu ditunjukkan 120 sukarelawan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kelantan, Kota Mas, Kota Jaya A dan Kota Jaya 3D/3E termasuk 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya di sini yang menjayakan program gotong-royong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (JPKRT) Zon Bandar di Madrasah Hajah Halimah Kampung Kelantan di sini baru-baru ini.

Tujuannya untuk memastikan kawasan tersebut indah, ceria dan bersih selain menghapus serta membanteras penularan penyakit berjangkit seperti demam denggi.

Penyelaras program merangkap pengerusi KRT Zon Bandar, Rashidin Rahman berkata, aktiviti berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelajar sekolah yang mengambil peluang untuk mengisi cuti hujung minggu.

“Kita lihat semua yang hadir berganding bahu mengindahkan kawasan persekitaran se­perti menanam pokok bunga, membersihkan longkang dan menebas semak-samun bagi me­wujudkan suasana positif dan selamat.

“Selain itu, secara tidak langsung dapat mewujudkan hubu­ngan sosial yang baik dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam program tersebut.

Yang turut hadir, Pegawai Perpaduan Daerah Kota Tinggi, Rozaidi Ikhwan dan Pengerusi KRT Kampung Kelantan, Ab. Latif Ali.

Program tersebut yang bermula pukul 8.30 hingga pukul 12 tengah hari diselitkan dengan aktiviti tazkirah yang disampaikan Ustaz Mohd. Zaki Sapuan.

Sementara itu, Rozaidi berkata, gotong-royong bukan sahaja menyemai semangat kerjasama tetapi mengukuhkan persaudaraan dan semangat kekitaan peserta dan penduduk setempat.

“Pendekatan gotong-royong bersama-sama penduduk jarang sekali dilihat diamalkan di sesetengah tempat khususnya dalam bandar. Kita harap melalui program seperti ini dapat mengambil inisiatif menghidupkan semula budaya ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini