JOHOR BAHRU 18 Sept. – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang penjaga kedai komputer, Jun tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Asrol Che Hassan, 30, dan Cornelius Guntalib, 27, kedua-duanya berpangkat Lans Koperal membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.
Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta suapan sebanyak RM500 daripada lelaki berusia 28 tahun itu sebagai dorongan untuk tidak menyamannya kerana memiliki cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen motosikal dan tidak membuat ujian air kencing ke atasnya.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa bersetuju dan menerima rasuah RM400 sebagai dorongan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki berkenaan.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pondok Polis Komuniti Tampoi Indah, No. 23 Jalan Mawar 4, Taman Tampoi Indah 2, Tampoi di sini pada pukul 5.30 petang, 16 Jun 2017.
Kedua-dua anggota polis itu didakwa mengikut 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Syarina Raizan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Muhamad Fairoz Elyas Majeed.
Muhamad Fairoz memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan mereka memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan selain bekerja sebagai anggota polis.
Kamarudin kemudiannya membenarkan kedua-dua anggota polis itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.











