KAJANG – GCH Retail (M) Sdn. Bhd. (GCH Retail) melabur sebanyak RM116 juta untuk pembinaan pusat pengedaran barang segar yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan ikan dari seluruh negara.
Pengarah Urusannya, Pierre-Oliver Deplanck berkata, pusat pengedaran barang segar yang memiliki keluasan 10,950 meter persegi itu juga merupakan cawangan keduanya selepas pusat operasi sedia ada syarikat di Balakong, Selangor.
Ia juga menjadi pusat pengedaran barang segar paling berinovasi dan yang terbesar dalam industri peruncitan di Malaysia.
“Melalui pusat pengedaran baharu ini, ia akan menempatkan barangan segar yang diperoleh daripada syarikat pengeluar untuk diagihkan semula kepada semua cawangan Giant di seluruh negara mengikut standard yang ditetapkan.
“Syarikat amat komited dalam menyediakan rangkaian produk-produk berkualiti selain memberi fokus terhadap nilai terbaik kepada pelanggan.
“Dengan adanya kemudahan pusat pengedaran baharu ini, ia sekali gus dapat merapatkan jurang antara peruncitan dan ladang menerusi penyedia tempatan bagi mendapatkan hasil yang lebih segar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pusat pengedaran segar di Taman Perindustrian Idaman disini semalam.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
GCH Retail merupakan pengendali pasar raya besar Giant, Cold Storage, Jason’s Food Hall dan Mercato.
Deplanck berkata, pusat pengedaran ini akan memberi tumpuan terhadap aspek kecekapan tenaga operasi, sistem penuaian hujan, teknologi pemulihan haba, proses integrasi dan automatik, pengawalan suhu persekitaran serta meningkatkan proses pengawalan dan logistik.
Pembukaan pusat berkenaan turut mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan khususnya dalam sektor gudang dan pemprosesan makanan termasuk kawalan kualiti profesional serta pasukan pengedar.











