Keluarga sumber inspirasi - Utusan Malaysia

Keluarga sumber inspirasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Atlet menembak Johor, Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin melakar kejutan apabila mencipta rekod baharu acara 10 meter (m) air pistol individu wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Lapang Sasar Darul Ridzuan dengan meraih pingat emas selepas mengumpul 562 mata.

Nurul Syasya, 16, berjaya ­memintas rekod milik Siau Cuili dari Perak yang mengutip 560 mata pada Sukma Perlis 2014 selain turut meraih emas acara 10m air pistol berpasukan ­wanita dengan meraih 1,639 mata.

Pingat perak acara itu menjadi milik atlet Selangor, Dina Batrisyia Adi Azhar yang me­ngumpul 559 mata, manakala pingat gangsa dimenangi Nur Natasha Shahira Rosli dengan 558 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nurul Syasya yang lahir daripada komuniti menembak di Batu Pahat, mengakui teruja dengan pencapaian peribadinya itu biarpun hanya menceburi ­sukan menembak itu pada tahun lalu.

“Ibu bapa saya aktif dalam Persatuan Menembak Johor dan daripada situ, minat saya ­bermula. Saya masih meng­ingati ‘cinta pandang pertama’ dengan sukan ini ketika bapa (Mohd. Ariffin Sodikin) membawa saya buat kali pertama ke lapang sasar menembak tahun lalu.

“Bapa seorang peniaga, manakala ibu (Zainorida Ngari) seorang guru tetapi kami begitu aktif dalam persatuan me­nembak. Mereka adalah inspirasi saya dan sejujurnya, saya menyukai bunyi tembakan pistol setiap kali berlatih di Batu Pahat.

“Ini adalah penampilan pertama saya pada Sukma dan bersyukur dapat melakar rekod baharu selain membantu Johor memenangi emas,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Onn Batu Pahat itu.

Dalam acara berpasukan wanita 10m air pistol, pingat perak menjadi milik pasukan tuan rumah, Perak yang meraih 1,638 mata manakala gangsa oleh Sarawak yang mengutip 1,633 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini