TAPAH 16 Sept. – Berlatih di bawah bimbingan datuk sendiri menjadi kunci utama kejayaan atlet angkat berat Kedah, Siti Barirah Azhari merangkul pingat emas pertamanya di Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Perak dalam acara snatch kategori wanita 58 kilogram (kg) di Dewan Merdeka, di sini hari ini.
Atlet berusia 14 tahun itu, berjaya mengangkat bebanan 74kg mengatasi pencabar terdekatnya dari Sarawak, Marthini Chan dengan kelebihan 1kg yang terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua manakala gangsa menjadi milik atlet dari Perlis, Nurul Anis Abdullah (70kg).
Menurut Siti Barirah, dia mula meminati sukan ini atas dorongan datuknya, Muhammad Osman yang merupakan bekas atlet bina badan yang mewakili Polis DiRaja Malaysia (PDRM) suatu masa dahulu.
Tambahnya lagi,dia turut terkejut apabila mampu melakukan angkatan seberat 74kg walaupun ia merupakan percubaan kali pertamanya melakukan angkatan tersebut kerana angkatan terbaiknya sebelum ini adalah 70kg.
“Ini kali pertama saya buat 74kg, sebelum ini saya hanya buat 70kg. Mungkin disebabkan latihan rapi dilakukan membolehkan saya melakukan angkatan tersebut.
“Berlatih di bawah bimbingan datuk juga memberi keselesaan. Datuk menjadi orang pertama yang bagi dorongan untuk saya menceburi sukan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.











