LONDON 16 Sept. – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri tetap merendah diri walaupun skuad bimbingannya berjaya merampas takhta Liga Perdana Inggeris daripada Liverpool hasil kemenangan bergaya 4-1 ke atas Cardiff City awal hari ini.
Sambil menegaskan kayu pengukur pasukannya masih kekal bersandarkan kepada perbandingan kekuatan dengan Liverpool dan Manchester City, ia akan menjadi penentu kepada sejauh mana Chelsea boleh pergi musim ini.
“Pencapaian City sebagai juara liga dan Liverpool sebagai finalis Liga Juara Juara Eropah musim lalu kekal menjadi kayu pengukur terhadap keupayaan dan kemaraan kami musim ini.
“Sasaran saya ada untuk muncul pasukan terbaik di England tetapi bukan dalam tempoh sebulan sahaja. Mungkin dalam satu musim atau mungkin lebih daripada itu tetapi itulah sasaran kami.
“Buat masa ini secara peribadi, Liverpool dan Manchester City masih saya anggap lebih baik daripada kami,” katanya yang jelas tidak mahu terbuai dan berasa selesa dengan lima kemenangan berturut-turut yang dicatat awal musim ini.
Eden Hazard melakukan hatrik ketika menewaskan Cardiff dan Sarri pantas memuji pemain antarabangsa Belgium itu yang disifatkan sebagai pemain terbaik di Eropah ketika ini. – AFP











