PULAU PINANG 16 Sept. – Sempena sambutan Hari Malaysia pada hari ini, tujuh bayi istimewa yang dilahirkan di Hospital Pulau Pinang (HPP) diraikan oleh Coopbank Persatuan Bayan Baru.
Pengurusnya, Afif Zulkifli berkata, kesemua bayi berkenaan menerima hadiah akaun Al-Wadiah Hasanah yang dibuka atas nama mereka dan RM50 telah dikreditkan ke dalam akaun.
Menurutnya, program itu bertujuan untuk meraikan bayi yang dilahirkan pada tarikh 16 September serta membudayakan amalan menabung sejak usia muda.
“Pada masa sama, kami berkeyakinan bahawa acara ini mampu mengeratkan hubungan antara Coopbank Persatuan, HPP serta masyarakat setempat serta memperkenalkan bank ini kepada masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Siti Saerah Abdullah, 34, yang melahirkan anak kedua teruja apabila bayi lelakinya diraikan dalam program berkenaan.
Jelasnya, dia tidak menyangka akan melahirkan anak pada hari ini kerana lewat empat hari daripada jangkaan doktor memandangkan dia sepatunya bersalin Khamis lepas.
“Kelahiran anak kedua saya seberat tiga kilogram (kg) pada pukul 5.28 pagi tadi merupakan kenangan manis bagi keluarga saya kerana dia dilahirkan pada Hari Malaysia,” katanya.











