SEJAK beberapa minggu lalu, laporan mengenai etnik Uighur ditahan secara besar-besaran oleh pihak berkuasa China di wilayah autonomi Xinjiang memenuhi dada akhbar.
Kisah diskriminasi terhadap etnik Uighur yang kebanyakannya merupakan penganut agama Islam itu bukanlah satu cerita baharu, bahkan sudah diketahui umum sejak sekian lama.
Antara bentuk penindasan yang dilakukan oleh Beijing terhadap etnik minoriti itu termasuklah menutup banyak masjid di Xinjiang, mengenakan sekatan keluar, mengawal jumlah populasi mereka serta yang terbaharu, penduduk Uighur didakwa ditahan dalam beberapa kem tahanan secara besar-besaran.
Beijing sehingga hari ini berkeras bahawa kem tahanan yang diwujudkan bertujuan ‘mendidik’ etnik Uighur yang terlibat dalam jenayah kecil dan bukannya menindas dan menghalang mereka daripada mengamalkan kebebasan beragama.
Biarpun begitu, banyak pihak terutamanya agensi hak asasi manusia melahirkan kebimbangan berhubung hal tersebut yang disifatkan tidak adil dan menyekat hak mereka sebagai penduduk.
Kisah seramai 22 etnik Uighur terpaksa meringkuk dalam penjara di Guantanamo pada 2001 menjadi antara bukti bagaimana penduduk minoriti tersebut dijadikan sebagai kambing hitam kepada serangan keganasan yang mengejutkan dunia.
Kesemua 22 etnik Uighur tersebut pada mulanya melarikan diri ke Afghanistan dan Pakistan untuk memulakan hidup baharu susulan tidak tahan dengan tekanan serta desakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa China.
Namun, tragedi 11 September yang menyaksikan serangan pengganas terhadap dua bangunan mercu tanda Amerika Syarikat (AS) secara tidak langsung mengubah nasib kesemua 22 etnik Uighur tersebut.
Hal ini kerana pihak berkuasa AS mengadakan operasi besar-besaran di Afghanistan untuk memburu pemimpin al-Qaeda ketika itu, Osama Laden yang didakwa dalang kepada serangan yang berlaku.
Akibatnya, kesemua etnik Uighur tersebut ditangkap dan didakwa sebagai ‘pengganas’ serta dipenjara di Teluk Guantanamo selama beberapa tahun sebelum akhirnya didapati tidak bersalah dan dibebaskan.
Seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Abu Bakker Qassim berkata, dia lari ke Afghanistan dan Pakistan kerana didakwa terlibat dalam kegiatan kumpulan pemisah di Xinjiang sehingga dipenjara.
“Saya bersama beberapa pelarian Uighur yang lain tinggal di sebuah perkampungan di Afghanistan dan kami dilayan baik oleh Taliban.
“Namun, nasib kami mula berubah apabila pihak berkuasa AS menawarkan ganjaran wang tunai kepada penduduk tempatan untuk menyerahkan mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam serangan 11 September,” katanya.
Menyedari dirinya terdedah kepada situai tersebut, Abu Bakker dan rakan-rakannya melarikan diri dan bersembunyi di dalam gua sebelum membuat keputusan untuk memasuki Pakistan.
Nasibnya terus malang apabila dia serta rakan-rakannya ditangkap pihak berkuasa Pakistan dan ‘dijual’ pada harga AS$5,000 (RM20,694) setiap seorang kepada tentera AS selain didakwa sebagai pengganas.
Pada 8 Jun 2002, Abu Bakker dipindahkan ke Teluk Guantanamo dan dipenjara selama empat tahun sebelum dibebaskan.
Seorang lagi etnik Uighur yang turut ditahan di penjara sama, Ahmat Abdulahad menceritakan bahawa dia dipenjara di Teluk Guantanamo pada Januari 2002 selepas didakwa menjadi pengganas oleh pihak berkuasa Afghanistan.
“Ketika dipindahkan ke Guantanamo, kaki saya cedera parah akibat serangan tentera AS terhadap kumpulan militan di Afghanistan.
“Doktor di sana (Guantanamo) menyatakan bahawa kaki saya terpaksa dipotong dan saya tidak mempunyai pilihan selain bersetuju dengan cadangan tersebut.
Nasib Ahmat mula berubah apabila dia dikasifikasikan sebagai bukan pengganas dan tidak terlibat dalam sebarang kegiatan berhubung keganasan, namun dia perlu menunggu beberapa tahun sebelum dihantar ke Pulau Palau untuk menjalani kehidupan.
Dua kisah tersebut merupakan sebahagian daripada laporan penindasan terhadap etnik Uighur dan pendedahan demi pendedahan dilakukan oleh pihak berkaitan untuk membela nasib serta hak etnik tersebut.
Ada juga agensi hak asasi manusia yang menyifatkan keadaan etnik Uighur ketika ini sama seperti etnik Rohingya yang ditindas oleh tentera Myanmar.











