KUALA LUMPUR 16 Sept. – Pengedar tunggal kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengumumkan mengumumkan harga baharu untuk model-model Nissan termasuk 10 peratus cukai jualan selaras dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
ETCM berkata, model Nissan Almera, Grand Livina, Serena S-Hybrid dan X-Trail akan ditawarkan pada harga bermula dari RM69,800 sehingga RM153,800, lebih rendah berbanding struktur harga cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Bagi model Nissan Navara, harga pikap kekal sama seperti semasa GST berkadar sifar dan sah sehingga stok masih ada.
“Harga Nissan Navara ditawarkan bermula dari RM77,330.97 untuk 2.5L Kabin Tunggal hingga RM119,869.08 untuk VL Plus (Dwi Kabin) yang dimuatkan dengan Intelligent Around View Monitor (I-AVM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
ETCM turut memaklumkan caj penyelenggaran perkhidmatan selepas jualan oleh Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS) akan tertakluk kepada enam peratus cukai perkhidmatan.
Dalam pada itu, ETCM juga akan mengadakan kempen ‘Malaysia Day Bonus’ yang menawarkan rebat menarik sehingga RM 8,000 bagi model-model terpilih Nissan.
“Orang ramai dijemput untuk mengunjungi bilik pameran Nissan untuk memandu uji model Navara VL Plus yang baru dilancarkan dengan Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dan model-model Nissan lain yang inovatif.
“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.nissan.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan ETCM di talian: 1800-88-3838,” katanya.











