SAUDARA PENGARANG, BERMULA tahun ini, penilaian murid tidak lagi memfokuskan kepada kecemerlangan akademik sahaja sebaliknya secara holistik.
Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya satu daripada empat komponen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).
UPSR menjadi kayu ukur kejayaan akademik yang menentukan layak atau tidak seseorang murid memasuki sekolah terbaik di Malaysia seperti sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Sudah tentu ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada murid untuk mencapai keputusan diharapkan ibu bapa. Kehidupan sebagai murid masih panjang, UPSR hanya langkah permulaan.
Tidak mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR tidak bermaksud murid itu tidak boleh berjaya dalam kehidupannya. Janganlah kita hanya meraikan dan menumpukan perhatian kepada murid memperoleh semua A.
Beri juga perhatian kepada murid yang mencapai tahap penguasaan minimum. Ucapkan tahniah kepada mereka sebagai satu motivasi dan perangsang untuk kejayaan masa hadapan.
Paling dibimbangkan, sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan sudah sebati dengan kehidupan murid. Tidak hairanlah murid, ibu bapa, guru dan semua peringkat pentadbiran pendidikan terlalu mengejar pencapaian akademik sehingga mengabaikan perkembangan emosi murid.
Murid sudah berusaha mencapai yang terbaik untuk UPSR tetapi orang dewasa seringkali mengelirukan dan menafikan hak mereka. Ini menyebabkan ramai dalam kalangan anak kecil ini berasa sedih jika tidak dapat menjawab dengan baik.
Akhir sekali, masyarakat seharusnya sedar bahawa kecemerlangan seseorang murid itu bukan bersandarkan kepada pencapaian UPSR semata-mata, sebaliknya perlu dinilai dan diukur pada kebolehan dalam pelbagai sudut lain.
Gagal pada hari ini tidak bermakna akan gagal selama-lamanya. Pendidikan itu bersifat menyeluruh dan berterusan, fokus kepada kecemerlangan peperiksaan cuma akan melahirkan pelajar cemerlang dalam satu cabang kehidupan sahaja.
MUHAMMAD FARID MOHD. YATIM
Kuala Kangsar, Perak











