ENTAH di mana silapnya negara ini sentiasa berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan yang akhirnya begitu membebankan pengguna secara keseluruhan.
Kita masih ingat bagaimana daging kerbau memonopoli pengedaran daging yang rata-rata rakyat Malaysia sangka ia daging lembu. Itu belum lagi cerita masalah kekurangan ayam dan pelbagai keperluan lain setiap kali tibanya hari raya.
Lebih menyedihkan masalah sebegini dilihat membebankan bukan kerana faktor tidak cukup tanah atau pengusaha malas tetapi akibat ketamakan beberapa pihak yang cuba memonopoli.
Masalah ini sudah tentu bukan isu baharu dan ia dilihat gagal diselesaikan oleh kerajaan sebelum ini yang rata-rata tidak ada keberanian untuk melakukan perubahan.
Dalam hal ini kita semua perlu mengucapkan terima kasih atas keberanian dan ketegasan Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub menggantung sementara pengeluaran semua permit import (IP) bagi cili dari Vietnam.
Khabar gembira ini sudah tentu mampu membuatkan petani dan pengusaha ladang cili yang begitu terbeban dengan lambakan cili dari Vietnam, tersenyum lebar. Masih ada sinar di bawah kerajaan baharu ini, kata mereka.
Kalau dahulu walau sampai empat menteri pertanian bertukar dalam tempoh hanya 10 tahun tetapi masalah melibatkan pengusaha cili atau penternak dan pengusaha ladang tidak begitu diambil kisah dan sering kali dipinggir kerana ada ‘kartel’ di belakang yang cuba mengaut keuntungan secara salah malah sanggup menganiaya pengusaha tempatan.
Kita tidak cakap golongan ini tidak dibela tetapi akibat wujudnya kartel yang haloba, masalah petani dan penternak bukan keutamaan.
Para petani dan pengusaha ladang ini juga seperti peniaga, kalau rugi buat apa lagi mahu diusahakan. Apatah lagi jika kerajaan tidak begitu membela seperti dalam kes lambakan cili akibatnya harga cili tempatan merudum teruk akibat lambakan sebegini.
Yang terus untung kartel dibelakang yang tetap untung walaupun berlaku lambakan.
P.S : Kekal pertahan hak petani…











