Azimat untuk bumiputera - Utusan Malaysia

Azimat untuk bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAKNYA Tun Dr. Mahathir Mohamad merasakan tegurannya semasa Ucaptama di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara, pada 1 September 2018 belum mendapat respons diharapkan.

Lantas, semasa berucap di Perhimpunan Ulang Tahun Pribumi pada 8 September lepas, beliau terus menyindir dan mengkritik sifat-sifat bumiputera yang dirasa melemahkan bangsa ini.

Pada pendapat saya, bumiputera perlukan azimat untuk sahut kritikan Dr Mahathir. Dengan azimat ini mereka wajar terlibat secara langsung dalam penggubalan DEB 2.0 (Dasar Ekonomi Nasional, DEN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Andaian saya, kerajaan setuju dengan pendekatan ini serta setuju dengan matlamat utama DEB 2.0 yang menjurus kepada:

(i) Pembasmian gejala-gejala songsang ekonomi dan pembinaan budaya ekonomi takwa, dan

(ii) Pembinaan kekuatan institusi ekonomi kepentingan KEB, untuk bumiputera menerajui agenda kemakmuran dan ekonomi.

Saya huraikan secara ringkas setiap azimat itu bagi mencapai matlamat di atas dan merangsang KEB untuk mencetuskan idea-idea bernas bagi disumbangkan dalam penggubalan DEB 2.0.

1 Bina Budaya Ekonomi Takwa
Pada 28 Mac 2017, MPM bersama UiTM menganjurkan Bengkel Budaya Ekonomi bagi membincangkan betapa perlunya KEB membina satu set budaya ekonomi mereka sendiri berpaksikan kepada ekonomi takwa. Resolusi bengkel itu telah diserahkan kepada kerajaan.

Tiba masanya KEB sendiri melaksanakan apa jua resolusi yang dihasilkan. Kini bukan masanya KEB meminta atau mendesak kerajaan melakukan sesuatu untuk mereka, termasuk penerapan budaya ekonomi takwa ini. Dalam model ekonomi takwa, amalan-amalan murni dalam agama Islam diterjemahkan menjadi amalan murni dalam semua bentuk kegiatan bisnes KEB.

Jika bangsa-bangsa lain terkenal hebat dengan budaya bisnes mereka, tiba masanya KEB tampil dengan satu set nilai dan budaya bisnes kemegahan sendiri.

2 National Service @ OBS
Azimat kedua, juga ada kaitan dengan respon terhadap kritikan yang dilemparkan kepada KEB. Azimat ini berbentuk kerelaan setiap pemegang-taruh bumiputera itu sendiri mengikuti satu bentuk latihan ala kerahan tenaga (national service), bagi membina ketahanan minda, jati diri dan set disiplin yang tinggi bagi menyediakan mereka terlibat dalam agenda ekonomi kepentingan bumiputera.

Tidak kira apa juga peranan sama ada sebagai pemimpin atau pengurusan dalam institusi kepentingan bumiputera, ataupun sebagai usahawan, mereka mesti mewajibkan diri mereka mengikuti national service ini.

MPM sudah berbincang dengan dua institusi OBS milik bumiputera dan kini bersedia dengan beberapa modul latihan sesuai.

3 Bina Semangat & Jati Diri Bumiputera

Jika masyarakat Jepun bangga dengan Bushido Spirit manakala masyarakat Korea dengan Hwarang Spirit, mengapa tidak kita sebagai bumiputera juga mempunyai semangat dan jati diri sendiri. Apa kata kita jadikan lima tunggak jati diri ini sebagai tunggak ‘Semangat Bumiputera,’ iaitu Berani, Hebat, Bermaruah, Berkat dan Tawakal. Semasa Perhimpunan Renaisans Melayu pada 28 Februari 2015 di Stadium Putra Bukit Jalil, MPM telah mengsyorkan tunggak ini dijadikan tunggak ‘Semangat Bumiputera.’ Barangkali nama lain yang lebih menarik atau membakar semangat boleh difikirkan.

4 Gubal Dasar Induk Negara

Setelah KEB cukup bersedia menggalas amanah dan tanggung-jawab memperkasakan Agenda Ekonomi dan Kemakmuran Bumiputera dan Negara, mereka perlu dibekalkan azimat keempat, iaitu Dasar Induk Negara (DIN).

DIN ini wajib ada dan kerajaan wajib menggubalnya sebagai satu dasar induk komprehensif dan kekal lestari sepanjang zaman. Daripadanya nanti dasar-dasar lain yang menegakkan lapan tiang seri kemakmuran digubal, setiap satunya berpautan satu sama lain.

DIN ini wajib dilindungi oleh Parlimen dan Institusi Raja-Raja, maknanya, ia tidak boleh digubal atau dipinda sewenang-wenangnya. Ia hanya boleh digubal oleh mereka dalam kalangan negarawan yang arif, bijaksana dan punyai kepakaran dalam aspek atau bidang penggubalan dasar.

Dengan adanya DIN ini maka tidak bolehlah mana-mana pihak, sama ada menteri atau ketua jabatan meminda mana-mana dasar mengikut selera atau citarasa mereka semata-mata.

5 Perkukuhkan Tiang Seri Kemakmuran

Saya memilih untuk menggunakan Indeks Kemakmuran yang dipelopori oleh Legatum Institute of Prosperity dengan mengubah dua dari lapan tiang seri, iaitu menggantikan elemen personal freedom dengan pembangunan insan rabbani dan social capital dengan pembangunan komuniti madani.

Sesuai dengan nilai budaya kita yang bercirikan Melayu-Islam, saya memilih lapan tunggak ini sebagai tiang seri kemakmuran yang utama, iaitu tadbir-urus, ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan, pembangunan insan rabbani, pembangunan komunti madani, dan pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar serta sumber asli.

Dalam merencana agenda kemakmuran yang komprehensif, saya mengibaratkannya sebagai sebuah mahligai. Bumbungnya ialah kemajuan dan pembangunan yang mampan dan bercirikan wasatiyyah. Dindingnya ialah kesejahteraan dan keharmonian manakala lantainya dengan semua tiang seri itu ditegakkan ialah Dasar Induk Negara(DIN).

Semua kelapan-lapan tiang seri itu sama pentingnya dan saling bertautan antara satu sama lain. Tiada tiang seri itu boleh tegak berasingan atau bersendirian, termasuk tiang seri ekonomi. Inilah model kemakmuran dalam acuan nilai-budaya Melayu-Islam yang progresif.

6 Perkukuh kepimpinan, pengurusan keusahawanan

Sekalipun banyak kritikan dilemparkan kepada golongan usahawan, realitinya kegagalan KEB juga adalah manifestasi daripada kelemahan kelompok lain pemegang taruh bumiputera, dalam kalangan mereka yang memimpin dan mengurus pelbagai institusi kepentingan bumiputera, terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan jaminan kerajaan (GLIC) dan agensi enterprais awam (PEA).

Malah syarikat senaraian awam (PLC) yang dikuasai oleh bumiputera juga sama bersalah. Mereka ini sepatutnya melaksanakan tiga aspirasi utama DEB, tetapi gagal. Mereka sepatutnya mengurus rantaian nilai sesuatu sektor ekonomi yang diceburi KEB. Itu pun gagal. Mereka patut menerajui Dewan Perniagaan Bumiputera. Juga gagal.

Penyudahnya kita mempunyai KEB dalam kalangan IKS yang majoritinya wujud dalam bentuk solitaire.

Tiba masanya NGO kepentingan KEB terutamanya MPM, bekerjasama dengan kerajaan bagi memudah cara jaringan bisnes mengikut NKEA, diterajui sama ada PLC, GLC, GLIC atau PEA yang kredibel, dengan syarat mereka memahami dan menghayati aspirasi DEB dan DEB 2.0 ini.

Dengan cara ini juga kita dapat memastikan budaya keusahawanan dan jaringan keusahawanan akan lebih mantap dan pengurusan IKS oleh usahawan juga setanding dengan kemampuan dan budaya pengurusan korporat.

PENULIS adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini