PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) memulakan saingan Ligue 1 musim ini dengan penuh cemerlang apabila melakar kemenangan kelima berturut-turut selepas menang 4-0 ke atas Saint Etienne di Parc des Princes awal pagi semalam.
Pada perlawanan tersebut, Julian Draxler, Edinson Cavani, Angel Di Maria dan Moussa Diaby mencetak nama selaku penjaring apabila masing-masing meledak satu gol.
Jurulatih PSG, Thomas Tuchel amat gembira dengan kemenangan tersebut biarpun beraksi tanpa kelibat dua pemain utama, Kylian Mbappe dan Neymar.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ke atas Saint Etienne kerana ini merupakan kemenangan kelima dalam lima perlawanan liga. Saya lega kerana masih ada pilihan walaupun tanpa Neymar dan Mbappe.
“Aksi pada separuh masa pertama amat sukar kerana Saint Etienne bermain bagus hingga menyukarkan kami menguasai bola. Bagaimanapun, kami bangkit selepas waktu rehat menerusi gerakan Di Maria dan Draxler,” kata Tuchel.
Justeru, kemenangan tersebut sedikit sebanyak melonjak semangat serta memberi suntikan moral kepada PSG menjelang aksi pertama Kumpulan C Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Anfield awal pagi Rabu ini.
“Bagi saya, ini merupakan salah satu langkah persediaan sebelum berkunjung ke Anfield bagi menentang Liverpool. Saya tahu ia akan menjadi satu perlawanan sukar tetapi kami sentiasa yakin dengan kemampuan pasukan,” ujarnya. – Agensi











