SUNGAI GOLOK, Thailand – Polis Thailand menahan seorang warga Malaysia di pekan Sungai Golok berhampiran Kelantan dipercayai menjadi ‘penjaga akaun’ bagi sindiket pemerdagangan manusia rentas sempadan.
Timbalan Ketua Polis Bahagian Kesembilan, Mejar Jeneral Daoloi Muendech berkata, wanita berumur 35 tahun yang dikenali dengan panggilan ‘Kakak’ dalam kalangan penduduk Rantau Panjang, Kelantan itu ditahan polis tempatan beberapa hari lepas ketika menyeberangi ke pekan Sungai Golok tanpa sebarang dokumen.
“Hasil siasatan menunjukkan wanita itu mengenali ketua sindiket pemerdagangan manusia warga Malaysia tersebut beberapa tahun lalu. Dia (Kakak) ditugaskan (sindiket) mencari individu untuk membuka akaun bank dengan upah RM250,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, ‘Kakak’ yang juga memiliki satu waran tangkap dari Mahkamah Wilayah Songkla yang dikeluarkan Ogos lepas mendakwa dia bersubahat dengan sindiket pemerdagangan manusia melibatkan mangsa berusia 18 tahun ke bawah bertujuan untuk dijadikan hamba.
Beliau berkata, warga Malaysia itu mengakui sering ke Sungai Golok untuk menukar wang dan membuat pembayaran antara 50,000 Baht (RM6,250) hingga 150,000 Baht (RM18,750) kepada anggota sindiket terlibat yang tinggal di Chumphon dan Ranong, di selatan Thailand.
Daoloi berkata, polis akan meneruskan siasatan serta meminta kerjasama Polis Malaysia untuk menyiasat sindiket pemerdagangan manusia itu. – Bernama











