Sempadan politik jadi penghalang Melayu maju - Utusan Malaysia

Sempadan politik jadi penghalang Melayu maju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 6 Sept. – Orang Melayu di negara ini tidak akan mampu untuk terus maju selagi wujudnya sem­­padan politik sehingga boleh memisahkan mereka dengan pencapaian pendidikan yang lebih cemerlang.

Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub berkata, dalam suasana orang Melayu yang lebih mementingkan politik berbanding menjaga kepen­tingan bangsa, keupayaan mereka untuk mempertahankan hak khususnya Perkara 153 adalah diragui.

“Adakah kita gembira 95 peratus pensyarah kita adalah dalam kalangan orang Melayu dan kita berpuas hati setakat itu? Tidakkah kita mahu berusaha lebih dari itu bagi memastikan pencapaian tersebut terus meningkat lebih tinggi?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adakah kita membuat kerja kita untuk itu (terus maju)? Selagi ada politik orang Melayu tidak boleh bersatu untuk meningkatkan (pencapaian) lebih dari itu,” katanya semasa menjawab soalan tetamu yang hadir pada Konvensyen Karamah Bangsa anjuran Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Dewan Annexe UiTM Shah Alam di sini hari ini.

Arshad berkata, persempadanan politik berbeza da­ripada pandangan demokrasi menyebabkan orang Melayu perlu bersatu dan tidak membiarkan perbezaan tersebut menghalang mereka untuk terus berjaya sebagaimana bangsa lain.

Mengulas mengenai pencapaian pelajar UiTM hari ini pula, beliau berkata, graduan perlu berminda kelas pertama dengan mengejar pencapaian terbaik dan cemerlang, bukan setakat ‘cukup makan’ sahaja.

“Semasa saya menjadi Pengetua ITM (Institut Teknologi Mara) pada 1965, kebanyakan pelajar yang masuk di bawah lima kredit, namun hari ini pelajar yang masuk UiTM adalah dalam kalangan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysian (SPM).

“Adakah anda hanya mahu mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.20 atau 3.10 atau 4 flat? Kita mesti menjadi pelajar lebih baik dan memikirkan untuk terus maju ke hadapan agar kita boleh menjadikan UiTM yang mempunyai kampus di setiap negeri lebih hebat dari universiti lain,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini