Dua Korea bertemu kali ketiga 18 September ini - Utusan Malaysia

Dua Korea bertemu kali ketiga 18 September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL – Pemimpin dua negara Korea akan menganjurkan sidang kemuncak di Pyongyang pada bulan ini, kata Seoul semalam ketika pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memperbaharui komitmen melucutkan senjata nuklear di semenanjung bergolak itu.

Sidang kemuncak pada 18 hingga 20 September ini akan menjadi pertemuan ketiga antara Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in tahun ini.

Kedua-dua pemimpin itu akan bertemu di ibu negara Korea Utara bagi membincangkan langkah-langkah praktikal untuk melucutkan senjata nuklear di Semenanjung Korea, kata Penasihat Ke­selamatan Kebangsaan Korea Selatan, Chung Eui-yong kepada pemberita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Eui-yong terbang ke Pyongyang kelmarin bagi menyerahkan surat peri­badi daripada Jae-in kepada Jong-un ketika Seoul mencari diplomasi ‘sepak mula’ yang membawa kepada pertemuan penting antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara pada Jun lalu.

Pada pertemuan tersebut kedua-dua mereka berikrar untuk melucutkan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Bagaimanapun tiada butiran terperinci dipersetujui pada sidang kemun­cak di Singapura itu.

Pada pertemuan dengan Eui-yong, Jong-un memperbaharui komitmennya untuk mencapai matlamat tersebut, kata media rasmi Korea Utara, KCNA.

“Kedua-dua Korea perlu meneruskan usaha mereka untuk merealisasikan pelucutan nuklear di Semenanjung Korea,” kata Jong-un yang dipetik berkata oleh KCNA.

Ikrar itu dibuat selepas Trump kecewa dengan kekurangan kemajuan dalam perlucutan senjata dan bulan lalu membatalkan lawatan Setiausaha Negara, Mike Pompeo ke Pyongyang selepas Korea Utara dilaporkan menghantar surat tidak menyenangkan kepada pe­mimpin AS. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini