KUALA LUMPUR 6 Sept.– Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar tidak kisah walaupun digelar sebagai anak setinggan dalam memastikan kemenangan berpihak kepada parti itu.
Malah, beliau yang menangis dan terkedu ketika mengimbau kembali zaman dibesarkan di kawasan tersebut menyifatkan itu adalah peluang terbaik bagi membantu penduduk Seri Setia tanpa mengira latar belakang.
Katanya, sebagai anak tempatan yang biasa dengan kesusahan, beliau dapat memahami nasib golongan miskin bandar yang perlu meneruskan kehidupan.
“Memang saya anak tempatan dan dibesarkan di kawasan setinggan. Bapa saya pernah dapat RM20 sahaja dalam satu hari dan saya tahu bagaimana susahnya anak setinggan ketika itu.
“Sekarang adalah masanya untuk saya bantu masyarakat setempat di kawasan sendiri. Biarkanlah mereka nak kata apa pun,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini.
Sementara itu, Halimey dengan nada tegas mahu Pas menghentikan isu debat yang mencetuskan pelbagai spekulasi sebelum ini.
“Saya bukan penakut, tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merupakan salah satu penganjur tidak berdaftar dengan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS). Di samping itu, mereka juga tidak mendapat permit Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya pun tiada masa dan sibuk dengan program kempen. Hentikan tohmahan kepada saya. Calon Pas, Dr. Halimah Ali pun bukan pengundi Seri Setia dan dia tidak pernah tabur bakti di kawasan ini. Di samping itu, adakah debat ini dikira peratusan undi?” soalnya.











