KUALA LUMPUR 6 Sept. – Hasil jualan buku masakan Air Tangan Tengku Puan Pahang akan disumbangkan sepenuhnya ke Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).
Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, tiada pihak akan mengambil untung daripada jualan buku tersebut termasuk baginda sendiri dan hasilnya akan disumbangkan 100 peratus bagi membantu pasangan yang sedang berusaha untuk memiliki cahaya mata melalui TAFF.
Titah baginda, selama empat tahun ini, yayasan tersebut terpaksa menghentikan tajaan kerana ketiadaan dana dan kini, baginda menyasarkan untuk mengutip sebanyak RM7 juta daripada penjualan 20,000 unit buku masakan tersebut untuk meneruskan tajaan rawatan fertiliti kepada pasangan yang kurang berkemampuan.
“Antara 2005 dan 2012, sekurang-kurangnya 493 pasangan telah mendapat manfaat daripada penajaan prosedur perubatan yang ditawarkan melalui TAFF yang dibiayai secara keseluruhannya daripada hasil sumbangan korporat atau peribadi selain daripada penjualan buku.
“Saya tahu bagaimana cabaran dan kesusahan setiap pasangan untuk mendapat anak kerana saya juga berpengalaman untuk melakukan rawatan fertiliti untuk satu masa yang panjang,” titah baginda dalam Majlis Minum Petang anjuran Perbadanan Muzium Negeri Pahang di sini hari ini.
Buku Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dijual dengan harga RM380.00 manakala Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang dijual dengan harga yang sama dan boleh didapati di laman web cheminahsayang.com.
Baginda bertitah, buku tersebut terbahagi kepada dua versi iaitu untuk masakan dan manisan yang mengandungi lebih 600 resipi.
“Hampir kesemua resipi tradisional yang direkodkan, dipulihara mengikut cara dan kaedah masakan tradisinya.
“Selain itu beberapa masakan tradisi daripada masyarakat Orang Asli Pahang turut ditampilkan di dalam buku ini,” titah baginda.











