PENGLIBATAN ketenteraan New Zealand di Malaysia bermula sebelum Perang Dunia Kedua melibatkan Tentera Udara Diraja New Zealand (RNAF) dan New Zealand Army Service Corp.
Ia terus berkembang ketika era Darurat Pertama melalui Briged Komanwel British Ke-28 bertempat di Kem Terendak, Melaka.
Pada 1955, kekuatan kuasa ketenteraan telah dipertingkat bagi menjalankan operasi memusnahkan ancaman komunis melibatkan enam batalion askar Melayu, enam batalion infantri Gurkha, enam batalion infantri tentera British, satu batalion askar Persekutuan termasuk batalion dari Fiji dan Afrika.
Terdapat satu skuandron New Zealand Special Air Service (SAS) yang telah berkhidmat bersama batalion infantri Australia.
Penugasan pasukan New Zealand ini tertumpu di negeri Perak dan sempadan Malaysia-Thailand sehingga 1966.
Dianggarkan hampir 4,000 tentera New Zealand berkhidmat di Malaya (selepas itu Malaysia) sebelum diaturgerakkan ke Vietnam pada 1967.
Kerajaan New Zealand pada tahun lalu kemudiannya telah mengumumkan perubahan polisi repatriasi dan bersedia membawa pulang rangka anggota tentera New Zealand yang dikebumikan di luar negara antara 1955 hingga 1971 dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negara itu.
Ke arah itu, kerajaan New Zealand telah mengemukakan kerjasama kepada Kementerian Pertahanan negara ini mengenai hasrat membawa pulang rangka anggota tentera dan ahli keluarga bagi pengkebumian semula di New Zealand pada 21 Mac lalu.
Mesyuarat pelaksanaan repatriasi pada 25 Ogos tahun lalu telah melibatkan Bahagian Dasar dan Perhubungan Strategik, Bahagian Kewangan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bahagian Perkhidmatan Anggota, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Veteran dan Muzium Tentera Darat.
Sesi tinjauan teknikal termasuk kerja-kerja imbasan geofizik telah diadakan pada September dan Oktober lalu meliputi tiga lokasi di Perak, satu lokasi di Melaka, satu lokasi di Kuala Lumpur, satu lokasi di Johor dan satu lokasi di Labuan melibatkan 50 kubur.
Kerajaan New Zealand seterusnya memutuskan hanya 27 kubur terlibat dengan proses repatriasi iaitu Perkuburan Tentera Kem Terendak, Melaka; Perkuburan Tentera Komanwel di Cheras, Kuala Lumpur; dan Perkuburan Kristian di Kamunting, Perak.
Sesi persidangan pembangunan konsep (CDC) telah diadakan di Muzium Tentera Darat pada 24 Oktober selepas itu bagi membincangkan perancangan awal konsep perlaksanaan Op Te Auraki. Sesi Persidangan Perangan Pertengahan (MPC) diadakan pada 20 Februari tahun ini di Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (BOPS), manakala sesi Persidangan Perancangan Akhir (FOC) telah diadakan di BOPS pada 23 Mei dihadiri wakil kedua-dua negara bagi mengkoordinasi keperluan akhir perlaksanaan misi.
Kerja-kerja akhir eskavasi selesai pada Ogos tahun ini di Perkuburan Perkuburan Tentera Komanwel di Cheras dan proses pemindahan keranda telah disempurnakan pada 12 Ogos di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.
Sementara itu, upacara penghormatan terakhir sempena Op Te Auraki berjalan lancar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor baru-baru ini.
Pada majlis itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menjadi saksi kepada upacara menandatangani dokumen rasmi penyerahan 27 rangka terlibat oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Darat New Zealand, Mejar Jeneral Peter Kelly.
Sebanyak 400 warga Kementerian Pertahanan serta wakil delegasi New Zealand menghadiri upacara penyerahan keranda dan disempurnakan oleh Tim Istiadat ATM yang diketuai seorang pegawai dan 180 anggota lain-lain pangkat.
Rangka-rangka anggota tentera dan warga New Zealand tersebut diterbangkan menaiki pesawat Boeing 787 Air New Zealand dan seterusnya diserahkan kepada keluarga mereka dalam satu upacara di Auckland.
Kesimpulannya, diharapkan lebih banyak peluang kerjasama pertahanan dapat dijalinkan antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pertahanan New Zealand hasil daripada kejayaan Op Te Auraki.
Platform Program Pertahanan Bersama Malaysia-New Zealand (MNZJDP) perlu sentiasa dimanfaatkan bagi meneroka peluang kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara termasuk Pertukaran Pakar Subjek Utama (SMEE) dalam isu perkhidmatan forensik ketenteraan di lapangan.











