BAM akan wujud jawatan baharu - Utusan Malaysia

BAM akan wujud jawatan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKSI longlai skuad badminton negara pada Sukan Asia 2018 di Indonesia nyata memberikan tamparan hebat buat Malaysia yang se­ring dianggap antara kuasa besar badminton dunia.

Justeru, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhasrat untuk mewujudkan jawatan pengarah kejurulatihan sebagai langkah membantu jurulatih-jurulatih kebangsaan, sekali gus menghasilkan keputusan lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, badan induk sukan badminton negara itu sudah membincangkan perkara tersebut, namun enggan mendedahkan nama-nama yang menjadi perhatian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“BAM sentiasa mencari ruang untuk meningkatkan kemam­puan pemain serta memperbaiki keputusan dalam pertandingan. Oleh itu, langkah pertama akan dibuat adalah untuk wujudkan jawatan pengarah kejurulatihan sepenuh masa.

“Jawatankuasa sudah bermesyuarat berhubung tugas-tugas pengarah kejurulatihan dan kami akan iklankan jawatan tersebut dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, kami tidak akan dedahkan nama-nama yang jadi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas me­syuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Chin Chai yang juga Setiausaha Kehormat BAM menegaskan, tugas pe­ngarah kejurulatihan tidak sama seperti tanggungjawab yang dijalankan oleh Pengarah Teknikal sebelum ini, Morten Frost Hansen.

Pada masa sama, beliau juga berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menghulurkan dana bagi membolehkan BAM melantik pengarah kejurulatihan ke­rana ia memerlukan wang yang banyak, terutamanya pasukan seperti Malaysia.

“Ingin saya tegaskan bahawa tugas pengarah kejurulatihan tidak sama dengan apa yang dijalankan oleh Morten sebelum ini kerana ia hanya berkaitan latihan, bukannya bahagian teknikal.

“Selain itu, kita mungkin memerlukan kos yang tinggi untuk melantik pengarah kejurulatihan jika dilihat taraf pasukan Malaysia. Justeru, kita akan mohon bantuan MSN dan ISN untuk salurkan dana bagi membolehkan jawatan ini diwujudkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, BAM juga memberi bayangan untuk menyingkirkan pemain yang gagal menghasilkan keputusan memberangsangkan Disember depan.

“Kami juga mungkin akan menyingkirkan beberapa lagi pemain penghujung tahun ini, tidak terkecuali pemain-pemain senior sekiranya mereka gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Tahun depan kita akan hadapi beberapa acara besar termasuk Sukan SEA, Piala Sudirman, Kejohanan Dunia serta Kejohanan Berpasukan Asia. Tidak ada pilihan lain kecuali bawa pulang pingat,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini