Pemain England masih keliru - Utusan Malaysia

Pemain England masih keliru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 5 Sept. – Aksi antarabangsa pertama selepas Piala Dunia bermula esok namun pertahanan England, Harry Maguire mengakui, pemain-pemain Three Lions masih keliru de­ngan konsep Liga Negara-Negara UEFA yang kali pertama diperkenalkan.

England yang mara ke separuh akhir Piala Dunia di Rusia akan memulakan kempen dengan menentang Sepanyol di Wembley, Ahad ini.

Pada ketika cuaca di London agak buruk, beberapa sesi latihan terpaksa dipendekkan, dan memburukkan lagi keadaan, pemain England tidak pasti apakah mereka perlu menghadapi per­lawanan hujung minggu ini se­perti aksi persahabatan atau kejohanan besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya agak keliru. Saya tidak pasti bagaimana anda fikir tentang kejohanan ini.

“Pengurus (Gareth Southgate) berulang kali cuba menerangkan kepada kami. Saya fikir, dia sendiri perlu melakukan banyak kajian dan memikirkan tentang perkara ini sejak berhari-hari.

“Biarpun keliru tetapi untuk pemain, kerja kami adalah memberi yang terbaik dan cuba mencari kemenangan setiap kali turun ke padang. Kemudian kita lihat sahaja, apa akan berlaku,” kata Maguire kepada pemberita.

Saingan Liga Negara-Negara mungkin sedikit mengelirukan, namun bagi England ia mudah difahami.

Pasukan itu perlu menamatkan peringkat kumpulan sebagai juara untuk mara ke separuh akhir kerana berada dalam Liga A iaitu liga utama.

Selain Sepanyol, England juga berada dalam Kumpulan 4 bersama naib juara dunia, Croatia yang akan ditentang pada Oktober.

Liga Negara-Negara lebih mengelirukan buat pasukan yang gagal layak ke Euro 2020 kerana ia menawarkan ‘laluan’ untuk mereka menempatkan diri pada kejohanan yang diadakan di 12 bandar raya seluruh Eropah itu, berbanding hanya tertumpu kepada kelayakan.

Maguire juga mengakui, ke­gagalan membawa pulang Piala Dunia menjadikan pasukannya lebih bersemangat untuk mencatat keputusan terbaik dalam Liga Negara-Negara.

Sementara itu, Southgate me­lakukan sedikit rombakan daripada skuad yang beraksi di Rusia apabila menggugurkan Ashley Young dan memanggil penjaga gol Fulham, Marcus Bettinelli.

Pemain sayap Manchester City, Raheem Sterling juga digugurkan akibat kecederaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini