BALING 5 Sept. – Menikmati makanan masakan kampung yang enak sambil kaki bermain dalam air sungai yang sejuk dan jernih amat mengujakan.
Pengalaman unik ini dapat di rasai jika berkunjung ke Dusun Tok Wak Desa Sentosa, Kampung Kuala Kedua berhampiran Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legung milik Mohd. Akhir Ismail, 60.
Sebelum ini, ia adalah tanah dusun milik persendirian tetapi mula dibuka kepada orang awam apabila melihatkan potensinya sebagai salah satu tempat riadah dan boleh dijadikan sebagai tempat pelancongan menarik di daerah ini.

“Dusun dan tanah seluas 5.6 hektar ini adalah milik datuk nenek kami dan setelah diberikan pembahagiannya kepada adik-beradik maka saya melihat kawasan ini ada kelainan dan keunikan tersendiri.
“Saya dan isteri, Siti Norhayati Yahaya, 36, membangunkan sedikit demi sedikit dengan penambahabaikan yang ada, bermula dengan sebuah dangau tempat menunggu durian gugur kemudian membina bangsal yang agak luas untuk pengunjung menjamu selera, mengadakan mesyuarat dan melaksanakan pelbagai aktiviti beriadah bersama keluarga,” kata Mohd. Akhir kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sejak dibuka pada 2015, pihaknya menawarkan Pakej Sepetang Dalam Dusun dengan harga RM20 seorang dan hingga kini, ramai pelancong datang sehinggakan tidak menang tangan melayani mereka.

“Awalnya, saya terfikir bagaimana cara untuk menjual buah-buahan bermusim seperti durian, manggis, langsat, dokong, rambutan dan sebagainya dengan harga tinggi bagi mengelakkan kerugian akibat lambakan buah.
“Setelah mewujudkan program ini di kawasan Dusun Tok Wak Desa Sentosa, ia semakin popular dan pengunjung boleh makan buah-buahan yang ada sebanyak mungkin dengan pakej yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, pengunjung Dusun Tok Wak Desa Sentosa datang dari Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang selain pelancong dari Australia, Singapura, Thailand, China dan sebagainya. Kebanyakan mereka terpegun dengan suasana di sini.
Pengunjung perlu membuat tempahan terlebih dahulu kerana Mohd. Akhir lebih mementingkan suasana private yang diingini oleh pelanggannya.

Pelanggan mungkin bersama ahli keluarga dan berkumpulan, jadi Mohd. Akhir mahukan tempat itu hanya khas untuk mereka tanpa gangguan orang atau kumpulan lain.
Mohd. Akhir juga amat menitikberatkan kehendak pelanggan dan tidak mahu tempat ini menjadi cacamarba dengan kehadiran pengunjung terlalu ramai.
“Tempat disediakan mengikut kehendak dan pakej yang mereka mahukan seperti berkelah dalam sungai, berkhemah, bersukan dan sebagainya dengan harga ditetapkan.
“Seperti musim buah-buahan ini, ramai pengunjung ingin merasai suasana makan buah-buahan dalam dusun. Mereka bebas mengutip durian yang baharu gugur untuk dimakan bersama pulut dan santan,” katanya.

Selain durian, pengunjung boleh mengait rambutan, dokong, langsat, manggis, buah setar dan sebagainya yang ada di Dusun Tok Wak Desa Sentosa ini.
Untuk menu makanan pula, pelbagai lauk pauk dihidangkan antaranya sup kambing berempah, udang galah, ikan sungai, gulai rias pisang, ikan dan daging pekasam, kerabu, pelbagai jenis sambal belacan dan air lawa (panggilan untuk air asam) dan teristimewa nasi dalam buluh serta ulam-ulaman.
Semua menu masakan siap sedia dihidangkan dan pengunjung boleh mencadangkan menu lain dengan harga serendah RM25 seorang.

Semua permintaan pengunjung Dusun Tok Wak Desa Sentosa, pasti seboleh-bolehnya akan dipenuhi Mohd. Khir dan isterinya.
Pelanggan boleh memilih sama ada makan nasi dihidangkan dalam sungai ataupun nasi berkuah untuk dimakan di atas rakit ataupun batu-batu besar yang terdapat di dalam sungai yang cetek serta jernih.











