SEOUL 5 Sept. – Sebelum bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, perisik Korea Selatan “Black Venus” diarahkan berjaga malam, mandi dan berpakaian kemas. Alat kelaminnya pula dipasang alat perakam mikro.
Jarang perisik mendapat peluang mendekati pemimpin negara jiran yang bermusuh dan itulah peluang yang diperolehi oleh Black Venus atau nama sebenarnya Park Chae-seo.
Sekitar tahun 1990-an dia menyamar sebagai bekas pegawai tentera Korea Selatan yang bersara dan menjadi ahli perniagaan sedang mencari lokasi sesuai untuk penggambaran filem di Korea Utara.
Semasa tempoh itu dia bertemu Jong Il dan mendakwa telah menjual perhiasan seramik antik bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga pemimpin Korea Utara itu dan menyaksikan bagaimana rasuah dibayar kepada pegawai tentera Korea Utara oleh Korea Selatan dalam pelbagai plot politik.
Kini kisahnya telah dibuku dan difilemkan membongkarkan pelbagai kisah kotor berkaitan kewangan, politik hingga wujudnya kawasan larangan ketenteraan yang memisahkan kedua-dua buah negara.
The Spy Gone North
Dengan pelbagai isu diplomatik dua buah negara buku berjudul The Spy Gone North kini laris bagai goreng pisang panas dan filem berkenaan telah ditonton oleh lima juta penonton dalam tempoh tiga minggu penayangan iaitu 10 peratus daripada keseluruhan penduduk Korea Selatan.
“Ia sebuah kehidupan yang sangat tertekan sebagai perisik,” kata Chae-seo, 64, kepada AFP dalam wawancara yang jarang diperolehi oleh media asing.
“Saya mungkin dedahkan sedikit kesilapan, seperti terlepas cakap.”
Tetapi tidak seperti ejen Korea Utara, tidak dibekalkan dengan pil bunuh diri sebagai jalan segera apabila tertangkap.
Sebaliknya, katanya, “Kami dilatih untuk membunuh diri dengan menggunakan jari pada titik penting badan”.
Dia menjadi perisik tentera pada tahun 1990, tugasnya adalah mengumpul maklumat tentang program nuklear Korea Utara yang ketika itu di peringkat awal.
Dia bergaul dengan pakar fizik nuklear China yang dibayar dengan jutaan dollar dan akhirnya mendedahkan Korea Utara telah menghasilkan senjata nuklear peringkat kedua.
Ketika dia menjadi perisik pada tahun 1995, dia diberi kod nama Black Venus.
Bertugas di Beijing di sebuah syarikat Korea Selatan yang mengimport produk pertanian dan berperanan mendapatkan pengecualian cukai dari Korea Utara dan ketika itu dia membina rangkaiannya serta mengumpul maklumat.
Jam Rolex tiruan
Dia juga merasuah pegawai atasan Korea Utara termasuk menghadiahkan jam Rolex tiruan kepada mereka ketika melawat Beijing.
Kejayaan besarnya ialah apabila membantu menyelamatkan anak saudara lelaki Jang Song Thaek iaitu bapa saudara kepada pemimpin Kim Jong Un yang dihukum mati pada 2013 sebagai pengkhianat.
Keluarga Song Thaek mengundangnya ke Pyongyang dan peluang itu digunanya untuk menjalankan urus niaga bernilai AS$4 juta syarikat pengiklanannya dengan agensi pelancongan Korea Utara untuk membuat penggambaran di lokasi menarik termasuk di Gunung Paektu, dan Gunung Kumgang yang memisahkan kedua-dua buah negara.
Ketika itu Korea Utara terdesak untuk mendapat dana berikutan kejatuhan sekutu kuat mereka Soviet Union dan jutaan rakyatnya dilanda kebuluran.
Chae-seo berkata dia turut membantu keluarga Kim menjual seramik berkualiti ke Korea Selatan dan mendapati bahan mineral itu banyak terdapat di Gunung Myohyang yang bernilai kira-kira satu bilion dollar.
Pada tahun 1997, semasa di Korea Utara, dia dibawa ke Rumah Tetamu Paekhwawon di Pyongyang, dan dia sempat bertemu dengan Kim Jong Il selama 30 minit dengan alat rakaman tersembunyi di bahagian sulitnya.
Kata Chae-seo, pemimpin Korea Utara itu mempunyai suara yang agak parau dan kelihatan bersahaja dalam pertemuan selama 30 minit yang berkisar soal jual beli seramik.
Pertemuan itu sekaligus telah berjaya meningkat keyakinan pemimpin Korea Utara terhadap beliau.
Jong Il turut menyatakan minat terhadap pilihan raya presiden di Korea Selatan.
Pengaruh Korea Utara memang tidak lepas daripada pada setiap kali pilihan raya presiden Korea Selatan dan pada tahun 1987 ejen Korea Utara meletupkan pesawat 858 Korean Air, mengorbankan 115 orang kurang seminggu daripada tarikh pilihan raya presiden.
Menjelang pilihan raya presiden 1997, calon konservatif Lee Hoi-chang meminta dia melancarkan serangan di sempadan sehari sebelum hari pengundian.
Di Beijing iaitu di sebuah bilik hotel Chae-seo mendakwa melihat sendiri pegawai Korea Utara mengira timbunan duit mata wang dollar dengan setiap bungkusan mengandungi AS$100,000.
Chae-seo akhirnya terpaksa melarikan diri ke China apabila penyamarannya terbongkar dan dipecat daripada badan perisikan Korea Selatan.
Pada tahun 2010 akhirnya Chae-seo diberkas di Seoul atas tuduhan menjual maklumat kepada Korea Utara.
Dia akhirnya terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam tahun dan menyifatkan tindakan itu lebih kepada motif politik.
Chae-seo mendakwa dia ditangkap kerana kesilapan sendiri tidak bersedia, tetapi kali ini dia lebih bersedia jika sekali lagi dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan politik. Dan polisi insuran itu adalah rakaman perbualan dengan Kim Jong Il, Jang Song Thaek dan beberapa pegawai yang kini disimpan di negara asing. – AFP











