Lelaki warga emas maut dirempuh Toyota Hilux - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas maut dirempuh Toyota Hilux

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI – Seorang lelaki warga emas maut apabila motor jenis Honda EX5 yang ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh sebuah pikap jenis Toyota Hilux dalam kejadian di Simpang Kampung Rantau Manis, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi itu, mangsa, Ramli Kasim, 64, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Balah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jeli, Asisten Superintendan, Nik Ahmad Kamil Ahmad berkata, semasa kejadian kedua-dua kenderaan itu datang dari arah Dabong menuju ke Jeli.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Motosikal mangsa berada di hadapan pikap berkenaan dan semasa mangsa cuba memasuki ke satu simpang di sebelah kanan dia telah dirempuh dari arah belakang.

“Akibatnya mangsa tercampak ke dalam longkang berhampiran dan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, isteri mangsa, Hasnah Mahmood, 63, berkata, sebelum kejadian arwah ke dusun buah-buahannya di Kampung Tuit di sini.

“Dia dalam perjalanan pulang dari dusun itu. Biasanya dia jarang ke dusun bersendirian dan akan ditemani saya. Namun hari ini dia bertegas untuk pergi seorang diri pada pukul 8 pagi. 

“Kira-kira pukul 9 pagi seorang rakan memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan. Saya sangka kemalangan kecil namun telah terkejut apabila mendapati dia meninggal dunia dalam kejadian itu,” katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Jenazah Allahyarham Ramli kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Balah di sini selepas solat Asar tadi. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini